ED Sheeran.
ED Sheeran.
Michelle Gun


Walaupun setiap tahun muncul dengan karya baru, penyanyi terkenal Ed Sheeran, 25, sudah lama tidak menghasilkan album.

Pemilik nama sebenar Edward Christopher Sheeran ini sepatutnya memperkenalkan album ketiganya yang berjudul ÷, November lalu, namun menundanya atas sebab tertentu.

Menurut Mirror UK, penyanyi Shape of You itu menangguhkan tarikh pelancaran album terbabit berikutan kemenangan Donald Trump sebagai presiden baru Amerika Syarikat.

“Sepatutnya album ini dilancarkan pada September, namun ditunda ke November. Kebetulan pula tarikh baru itu jatuh pada minggu pilihan raya presiden baru Amerika Syarikat.

“Sudah tentu album ini tidak akan mendapat sambutan sekiranya dilancarkan pada tarikh itu. Pada bulan sama, Bruno Mars dan The Weeknd turut muncul dengan karya masing-masing,” jelasnya.

Penyanyi itu optimistik 2017 akan bawa lebih banyak tuah kepadanya dan meletakkan harapan tinggi terhadap album ÷.

“Saya dapat berasakan tahun ini berbeza dengan 2016. Oleh itu, saya yakin lagu saya akan mendominasi industri muzik,” katanya.

Ujar Sheeran lagi, dia menganggap dirinya mempunyai dua personaliti berbeza apabila bekerja dan berada di luar waktu kerja.

“Saya hanya orang biasa apabila melepak bersama rakan di kelab, mengayuh basikal dan meluangkan masa dengan kucing kesayangan.

“Ketika bekerja, saya insan yang bertungkus-lumus menyempurnakan usaha tiga tahun menyiapkan album agar dapat dihayati peminat seluruh dunia,” katanya.

Bina terowong bawah tanah

Beralih kisah peribadi, Sheeran turut mencipta nama sebagai pelakon membina pub di kediamannya.

“Kerja pembinaan masih berjalan. Saya pernah ada bar dalam rumah sebelum ini. Pub yang sedang dibina akan dilengkapkan dengan seleksi air,” katanya.

Menurut penyanyi itu, sebagai langkah keselamatan, terowong bawah tanah dibina ke pub berkenaan bagi memisahkan premis itu dengan kediamannya.

“Apabila ada parti, tetamu tidak dapat menggeledah almari dan memecahkan barang dalam rumah.

“Idea membina terowong ini saya dapat ketika mengunjungi rumah Peter Jackson yang mempunyai banyak laluan rahsia dan terowong bawah tanah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sheeran buat kali pertama menduduki tangga teratas carta muzik Billboard Hot 100 menerusi lagu Shape of You.

Selain itu, single Castle on the Hill turut tersenarai dalam carta itu, sekali gus meletakkan namanya sebagai penyanyi pertama mempunyai dua lagu serentak dalam senarai Top 10.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 12:10 PM