UNTUK mengurangkan kejadian kanser serviks, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Program Pemvaksinan HPV Kebangsaan.
UNTUK mengurangkan kejadian kanser serviks, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Program Pemvaksinan HPV Kebangsaan.
DARI kiri, Dr Suresh, Tan, Perunding Onkologi Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Woo Yin Ling dan Dr Musa pada pelancaran vaksin baru HPV, Gardasil 9.
DARI kiri, Dr Suresh, Tan, Perunding Onkologi Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Woo Yin Ling dan Dr Musa pada pelancaran vaksin baru HPV, Gardasil 9.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Kanser serviks adalah jenis kanser kedua paling lazim berlaku dan menjadi punca kematian akibat penyakit itu yang kelima tertinggi dalam kalangan wanita di Malaysia.

Anggaran yang dibuat pada 2012 menunjukkan kira-kira 2,145 wanita di Malaysia didiagnosis menghidap kanser serviks dan 621 mati akibat penyakit ini setiap tahun.

Virus Human Papilloma (HPV) menyebabkan hampir semua kes kanser serviks. HPV juga menyebabkan kira-kira 70 hingga 75 peratus kes kanser vagina dan kira-kira 30 peratus kes kanser vulva dalam kalangan wanita serta kira-kira 85 hingga 90 peratus kes kanser anus dan ketuat genital dalam kalangan wanita dan lelaki.

Kira-kira 575,000 kes kanser yang berkait dengan HPV dan jutaan kes ketuat genital berlaku pada wanita serta lelaki setiap tahun di seluruh dunia.

Sejak vaksin HPV mula-mula diperkenalkan sedekad lalu, wanita di negara ini mendapat manfaat perlindungannya daripada kanser serviks dan penyakit lain yang berkait dengan HPV.

Untuk mengurangkan kejadian kanser serviks, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Program Pemvaksinan HPV Kebangsaan yang menyediakan pemvaksinan HPV secara percuma kepada pelajar perempuan pada peringkat sekolah menengah.

Ia disokong dengan program kemas kini yang ditawarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Selain pemvaksinan HPV, penyaringan tetap untuk mengesan kanser serviks juga penting untuk mencegah penyakit ini.

Penyaringan lumuran Pap diperkenalkan di Malaysia pada 1960-an dan walaupun pemeriksaan ini boleh dijalani secara percuma di pusat kesihatan kerajaan sejak tahun 1995, namun kadar sambutan penyaringan lumuran Pap masih rendah.

Menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III yang dijalankan pada 2006, hanya 43 peratus wanita yang layak menjalani lumuran Pap ini pernah menjalaninya.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, KKM bekerja keras menjadikan pencegahan kanser serviks suatu keutamaan dari segi kesihatan awam di negara ini dengan melancarkan vaksinasi HPV dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) pada 2010.

Katanya, inisiatif itu dijangka mengurangkan kadar kejadian kanser serviks dengan banyak dalam kalangan wanita yang menjalani imunisasi ini dalam tempoh 20 hingga 30 tahun yang akan datang.

“Selain pelajar sekolah yang sudah menerima vaksin, wanita lain yang tidak mendapat manfaat NIP masih berisiko menghidap penyakit ini.

“Apatah lagi dengan kadar sambutan khidmat penyaringan kanser serviks yang rendah dalam kalangan wanita di Malaysia meskipun ujian lumuran

Pap disediakan secara meluas di pusat kesihatan kerajaan dan swasta, maka mereka masih sangat perlu dididik mengenai pemvaksinan HPV dan pemeriksaan tetap supaya dilindungi daripada penyakit ini,” katanya.

Terdahulu, Merck Sharp & Dohme (Malaysia) Sdn Bhd (MSD) mengumumkan mengenai vaksin GARDASILÆ9 (vaksin HPV 9 valen, rekombinan) yang kini boleh didapati di Malaysia untuk mencegah kanser dan penyakit lain yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58.

Perlindungan awal

Perlukah anak remaja saya diberikan vaksin? Ini persoalan yang sering bermain dalam fikiran ibu bapa apabila diberitahu mengenai vaksin HPV. Malah ada yang masih ragu-ragu untuk membenarkan anak mereka diberikan suntikan vaksin selepas menerima surat pemberitahuan daripada pihak sekolah.

Jawapannya ringkas. Ya, perlu. Ia adalah langkah perlindungan awal sebelum anak anda yang akan meningkat dewasa terbabit dalam sebarang aktiviti seks. Selain memberikan perlindungan, pemberian vaksin HPV ini adalah satu cara untuk kita (ibu bapa dan anak) bersama-sama belajar mengenai kesihatan intim dan menjadi pendidikan seks tidak langsung buat anak.

Antara perkara penting yang perlu anda ketahui mengenai vaksin HPV ini ialah:

1. Vaksin versi baru itu untuk kegunaan anak gadis dan wanita yang berusia antara sembilan hingga 45 tahun. Ia dapat mencegah kanser serviks, vulva, dan vagina yang disebabkan oleh HPV jenis 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58, lesi prakanser yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58, serta ketuat genital yang disebabkan oleh HPV jenis 6 dan 11.

2. Vaksin itu juga diluluskan untuk kegunaan kanak-kanak dan orang dewasa lelaki dan perempuan yang berusia antara sembilan hingga 26 tahun untuk mencegah kanser anus yang disebabkan oleh HPV Jenis 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58.

3. Vaksin ini juga boleh digunakan oleh lelaki yang berusia antara sembilan hingga 26 tahun untuk mencegah lesi prakanser atau displasia yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58, dan ketuat genital yang disebabkan oleh HPV jenis 6 dan 11.

Pakar Perunding Onkologi Ginekologi Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Suresh Kumarasamy berkata, HPV adalah virus yang sangat lazim ditemui dan menjejaskan kebanyakan orang pada suatu ketika dalam hidup mereka.

Oleh itu, katanya, pemvaksinan masih menjadi salah satu kaedah yang paling berkesan mencegah penyakit yang berkait dengan HPV.

“Dengan adanya vaksin ini, masyarakat perubatan dan kesihatan awam kini mampu mencegah 90 peratus kes kanser serviks yang disebabkan oleh HPV, dengan itu mengurangkan lagi beban penyakit dan kanser berkaitan dengan HPV di negara ini,” katanya.

Ketua Zon dan Pengarah Urusan MSD Malaysia, Singapura dan Brunei Chris Tan berkata, MSD mempelopori bidang pencegahan kanser serviks selama 10 tahun apabila syarikat itu menangani suatu keperluan perubatan yang mendesak tetapi belum dipenuhi iaitu dengan pelancaran vaksin HPV terdahulu pada 2006.

Sempena Bulan Kesedaran Tentang Kesihatan Serviks, MSD turut melancarkan kempen kesedaran ‘It’s Your Life. Why Take a Chance’ untuk mendidik wanita di Malaysia dan menggalakkan mereka bertindak melindungi diri mereka daripada HPV dan kanser serviks.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 2:25 PM