Bot pukat tunda kelas B1 yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Langkawi, semalam. Ihsan APMM
Bot pukat tunda kelas B1 yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Langkawi, semalam. Ihsan APMM
Hamzah Osman


Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot pukat tunda berserta enam awak-awak kerana melanggar syarat sah lesen menangkap ikan di perairan pulau ini, semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 1 Langkawi (DM1) Komander Maritim R Vincent, berkata, bot serta nelayan itu ditahan 8.40 pagi pada jarak lapan batu nautika dari pulau ini.

"Ketika rondaan, bot Peronda DM 1 mengesan sebuah bot pukat tunda kelas B1 sedang menarik pukat pada jarak kurang daripada lapan batu nautika dari pantai.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dinaiki enam awak-awak termasuk seorang warga Thailand dan semua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bot pukat tunda dan awak-awak terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 8(b) iaitu kesalahan melanggar syarat lesen menangkap ikan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, APMM akan terus mengadakan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah di perairan pulau pelancongan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 2:49 PM