Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Melaka Tengah merampas dadah bernilai RM484,850 selepas tertangkapnya lelaki berusia 30 tahun di Jalan Melaka Raya, di sini, semalam.

Ketua Polis negeri Datuk Abd Jalil Hassan berkata, lelaki terbabit dipercayai ada kaitan dengan tangkapan suspek 12 Januari lalu.

"Suspek ditahan di tepi Jalan Melaka Raya kira-kira jam 2.20 petang namun pemeriksaan badan tidak menemui dadah dan hanya ada kad kunci.

"Suspek kemudian dibawa ke sebuah rumah pangsa di Bukit Baru dan menemui pelbagai jenis dadah," katanya.

Menurut Abd Jalil, dadah jenis syabu, ekstasi, ketamin dan erimin 5 dalam pelbagai bentuk bungkusan termasuk cecair dalam botol minuman dirampas.

"Kita turut menyita wang tunai RM5,000, masing-masing sebuah kereta Mitsubishi Triton dan Toyota Velfire, jam tangan Rolex serta barang kemas bernilai RM37,900 yang keseluruhannya bernilai RM307,900.

"Saringan awal air kencing negatif namun suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari hingga 21 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 2:22 PM
Abd Jalil Hassan (dua dari kiri) dan Shaikh Abdul Adzis (kiri) serta Zulkiflee (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di IPK negeri, Bukit Beruang. FOTO Zuhairi Zuber
Abd Jalil Hassan (dua dari kiri) dan Shaikh Abdul Adzis (kiri) serta Zulkiflee (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di IPK negeri, Bukit Beruang. FOTO Zuhairi Zuber