AFP

London: Mauricio Pochettino (gambar) percaya Tottenham Hotspur sudah membuktikan mereka mampu terus mencabar gelaran Liga Perdana selepas hampir menjuarainya musim lalu.

Cabaran Spurs beransur pudar pada minggu-minggu terakhir musim lalu, menduduki tangga ketiga pada hari terakhir kempen selepas mengejar pasukan juara Leicester sepanjang separuh kedua musim lalu.

Namun Pochettino yakin pemainnya belajar daripada pengalaman itu dan selepas naik ke tangga kedua hasil kemenangan berat sebelah ke atas West Bromwich Albion 4-0 yang juga kemenangan liga keenam berturut-turut, mampu merapatkan jurang tujuh mata dengan pendahulu liga Chelsea.

“Kami perlu terus berjuang tapi kini kami lebih yakin,” kata Pochettino.

“Kami jauh lebih baik berbanding musim lalu. Kami membuktikan betapa kami banyak belajar daripada musim lalu, kami semakin matang. Hari ini kami tidak bolos sebarang gol.”

Skuad Pochettino menamatkan siri 13 kemenangan Chelsea di liga itu apabila menewaskan skuad Antonio Conte pada perlawanan liga sebelum ini.

Selepas jaringan hatrik Harry Kane dan gol Gareth McAuley ke gawang sendiri membolehkan mereka menewaskan West Brom, pengurus Spurs berpuas hati susulan kemenangan sebelumnya.

“Tempoh 45 minit pertama sungguh menakjubkan, aksi bola sepak hebat,” kata Pochettino.

“Kami boleh merasai kegembiraan dengan persembahan itu dan pemain beraksi cemerlang ketika berdepan lawan yang mencabar.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 9:43 AM