Muhamad Safar Ahmad

Beberapa hari lalu cerita disertai beberapa foto kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang diperkosa bergilir-gilir tiga lelaki di Kota Sorong, Papua Barat, Indonesia, tular di media sosial.

Kisah rogol mungkin sering kedengaran namun dalam insiden menyayat hati ini, mangsa bukan setakat dirogol, tetapi dipercayai dipukul dan dicekik hingga mati oleh suspek sebelum membenam tubuh kecil tidak berdosa itu ke dalam lumpur.

Khabarnya perogol yang juga jiran kanak-kanak itu sudah diberkas polis, malah mereka mengaku melakukan perbuatan keji itu ke atas mangsa. Ketiga-tiga suspek juga mengaku mabuk akibat arak ketika kejadian.

Di Malaysia juga, statistik jenayah seks terhadap kanak-kanak yang kelihatan tidak banyak berubah pastinya membimbangkan banyak pihak terutama mereka yang mempunyai anak perempuan.

Laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mencatatkan peningkatan kes rogol dalam kalangan remaja.

Bagi tempoh tidak sampai lima tahun sejak 2011, sebanyak 12,473 kes rogol dalam kalangan remaja dicatatkan manakala 11,667 mangsa adalah dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 18 tahun. Sebanyak 435 kes pembuangan bayi turut dilaporkan.

Selain itu, kehadiran penjenayah seks kanak-kanak atau disebut sebagai pedofilia dalam kalangan masyarakat sewajarnya diberi perhatian.

Penampilan golongan ini biasanya tidak kelihatan membahayakan dan sukar untuk membaca tingkah laku mereka, malah ada yang rapat dengan mangsa dan keluarga mereka.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia juga pernah mencadangkan supaya kategori kesalahan pesalah pedofilia diwujudkan dalam pangkalan data pihak berkuasa supaya tugas mengesan golongan itu dengan lebih efektif.

Ketika ini sistem pangkalan data rekod pesalah yang hanya boleh diakses Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai maklumat atau profil berkaitan pesalah membabitkan jenayah rogol termasuk seks luar tabii dan bukannya pedofilia.

Menyedari betapa golongan ini sebagai satu ancaman sosial, mungkin atas dasar itulah, Indonesia melalui Dewan Perwakilannya baru-baru ini meluluskan satu peraturan dalam undang-undang perlindungan kanak-kanak yang membenarkan pesalah seks dikenakan hukuman kembiri secara kimia.

Peraturan itu diluluskan selepas perdebatan hangat dalam persidangan yang berlangsung.

Daripada 10 parti politik di Dewan Perwakilan hanya Parti Gerindra dan Parti Makmur Keadilan (PKS) pada mulanya tidak bersetuju, tetapi akhirnya menyokong peraturan berkenaan.

Menurut laporan di republik itu, hukuman kembiri kimia terpakai kepada perogol berulang sebagai bentuk ‘terapi’ bagi menghalang pelaku daripada melakukan jenayah sama.

Prosedur itu dilaksanakan dengan menyuntik ubatan anti-androgenik secara kerap bagi menurunkan nafsu seksual penjenayah, menyasarkan melindungi mangsa berpotensi daripada menjadi mangsa jenayah pedofilia.

Malah, di negara ini, isu berkenaan turut dibangkitkan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini apabila Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun menyifatkan kembiri kimia bagi pesalah pedofilia adalah lebih baik jika Parlimen bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Persoalannya sekarang adakah kanak-kanak berusia lima tahun mampu mengenali siapakah pedofilia dan apakah ciri-cirinya mereka.

Ketika mereka keluar bermain di padang permainan berhampiran kediaman, jika ada seorang ‘atuk’ tiba-tiba datang menawarkan gula-gula atau aiskrim, apa yang mereka perlu lakukan?

Sebagai ibu bapa semua situasi seperti ini perlu diambil kira kerana orang dewasa sendiri juga sukar memahami ciri seorang pedofilia sehinggalah mereka melakukannya.

Walau hukuman mati sekalipun dikenakan ke atas golongan ini, ia belum tentu dapat merawat trauma anak-anak yang sudah menjadi mangsa.

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 2:13 AM