Trump
Trump
Reuters

Washington: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menegaskan Russia tidak pernah cuba mengambil kesempatan mempengaruhinya dan menyelar agensi risikan AS kerana laporan berita yang mendakwa Moscow mempunyai maklumat mencurigakan mengenainya.

Dalam beberapa kenyataan di Twitter hanya beberapa jam menjelang sidang media pertamanya sejak hampir enam bulan lalu, Trump menuduh agensi risikan AS membuat cubaan kali terakhir membocorkan maklumat berkenaan.

“Apakah kita sekarang hidup pada zaman pemerintahan Nazi Jerman?” katanya.

Bekas ahli perniagaan yang bakal memasuki Rumah Putih dalam hanya sembilan hari lagi serta ketua turusnya Reince Priebus menganggap laporan CNN bahawa dokumen rahsia diserahkan kepada Trump dalam taklimat risikan minggu lalu merangkumi dakwaan bahawa Russia kononnya mempunyai maklumat mencurigakan mengenainya sebagai palsu.

“Russia tidak pernah cuba mengambil kesempatan terhadap saya. Saya tiada kaitan dengan Russia - tiada perjanjian, pinjaman atau apa-apa!” tulis Trump di Twitter.

“Russia baru mengatakan laporan yang tidak disahkan itu dan dibiaya lawan politik sebagai penipuan semata-mata dan merepek. Ini memang tidak adil!” katanya yang akan mengangkat sumpah jawatan menggantikan Barack Obama pada 20 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 8:05 AM