Lelaki yang hilang dipujuk ahli keluarga selepas pulang sendiri ke rumah. FOTO ihsan bomba
Lelaki yang hilang dipujuk ahli keluarga selepas pulang sendiri ke rumah. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba dibantu polis, APM, RELA dan penduduk kampung mengadakan operasi mencari lelaki hilang di hutan Kampung Bongor. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba dibantu polis, APM, RELA dan penduduk kampung mengadakan operasi mencari lelaki hilang di hutan Kampung Bongor. FOTO ihsan bomba
D J Dolasoh


Gerik: Gara-gara seorang lelaki hilang selepas lima hari keluar dari rumahnya di Kampung Bongor, dekat sini, lebih 50 orang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke dalam kawasan hutan berhampiran.

Lelaki itu bagaimanapun pulang sendiri ke rumah kira-kira jam 11 pagi tadi ketika usaha mencari diteruskan pihak berkuasa.

Dia yang dipercayai kurang siuman dilihat keluar dari rumah jam 3.30 petang, Sabtu lalu, dan tidak pulang selepas merayau-rayau di sekitar hutan berdekatan kediamannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Azizul Aswad Asaris berkata, berikutan itu pihaknya mengerahkan enam anggotanya dibantu 15 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung melakukan SAR bermula semalam.

“Pada hari pertama pencarian, kami hanya menjumpai kesan tapak kaki di sekitar anak sungai tetapi gagal menemuinya kerana hutan di situ sangat tebal.

“Hari kedua hari ini, kami meluaskan kawasan pencarian sehingga lima kilometer bersama-sama kira-kira 50 anggota termasuk 10 penduduk kampung dan dibantu anjing pengesan tetapi masih gagal,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kira-kira jam 11 pagi tadi pihaknya mendapat maklumat mangsa pulang sendiri ke rumahnya.

"Mangsa pulang dengan selamat tetapi dalam keadaan letih dipercayai terlalu lapar kerana lima hari tidak makan selain ada kesan calar di badan kerana terkena duri sepanjang berada di dalam hutan itu.

“Ketika pulang, mangsa tidak berbaju dan hanya berseluar jean biru. Dengan penemuan ini, operasi mencari ditamatkan pada jam 11.45 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 8:24 PM