Hadzlihady Hassan


Georgetown: Empat anggota polis mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan berasingan membabitkan kes rasuah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Koperal Jeffrey Abdullah, 36, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, Jeffrey didakwa memperoleh RM1,000 daripada seorang wanita, Noor Esmawati Baharom sebagai dorongan tidak mengambil tindakan dengan menukar air kencing adik iparnya yang dikatakan positif dadah dalam ujian saringan awal.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 1 Mac 2015, jam 4.40 petang di Pejabat Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Timur Laut.

Sementara itu, tiga lagi anggota polis didakwa bersama kerana meminta rasuah sebanyak RM10,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas adik ipar Noor Esmawati atas kesalahan memiliki dadah jenis ganja.

Ketiga-tiga tertuduh, Lans Koperal Muhammad Farid Nordin, 28; Lans Koperal Mohd Zulkifly Mat Nor, 28, dan Konstabel Zainoor Ariffin Rosli, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Roslan.

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 1 Mac 2015 jam 11.45 pagi di Balai Polis Datuk Keramat.

Roslan kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin setiap seorang RM8,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 17 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Ghazali dan Pegawai Pendakwa SPRM Amin Yaacub, manakala semua tertuduh diwakili peguam P Pativan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 11:46 AM
Pegawai SPRM Pulau Pinang membawa seorang daripada empat anggota polis yang di dakwa di Mahkamah Sesyen, Georgetown hari ini atas pertuduhan menerima rasuah daripada orang awam. FOTO Mikail Ong
Pegawai SPRM Pulau Pinang membawa seorang daripada empat anggota polis yang di dakwa di Mahkamah Sesyen, Georgetown hari ini atas pertuduhan menerima rasuah daripada orang awam. FOTO Mikail Ong