Ibrahim Isa


Johor Bahru: Lelaki maut selepas ditetak dan dibelasah dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Sungai Tiran, Ulu Tiram.

Ketua Polis daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata kejadian ketika mangsa bersama lima ahli keluarganya tidur di rumah, kira-kira 4 pagi, Khamis lalu.

"Hasil siasatan awal, kami dapati tiga lelaki dipercayai warga Indonesia dan bersenjatakan parang, besi, kayu, pemutar skru, rotan dan pemotong besi memecah masuk ke rumah menerusi tingkap.

"Apabila masuk ke dalan rumah, mangsa, M Subramaniam, 62, dikatakan cuba melawan menyebabkannya dipukul di kepala dan badan dengan besi, kayu dan parang.

“Anak anak lelakinya berusia 38 yang cuba membantu turut dibelasah dengan senjata sama,” katanya.

Menurutnya, tiga perompak itu kemudian mengeledah rumah sebelum melarikan RM10,000 dan SD1,000, pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM5,000, satu komputer riba serta lima telefon bimbit.

Katanya, mangsa yang ketika parah kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan maut, pada 10.40 pagi, Jumaat.

Jokhiri berkata, bertindak atas laporan polis pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 3:53 PM