BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini, hari ini, bagi menghadapi tiga pertuduhan iaitu melakukan seks luar tabii, cubaan merogol dan melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang pembantu tadbir di kawasan tangga sebuah rumah kedai.

Mohd Mazlan Ibrahim, 31, yang bekerja sendiri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di depan Hakim Rushan Lutfi Muhamad.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di kawasan tangga rumah kedai di Jalan Persiaran Perdana 3/10, Pandan Jaya, di sini pada 1.15 pagi, 31 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan seks luar tabii terhadap wanita berusia 23 tahun dan cuba merogolnya mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa sama dengan merompak telefon bimbit dan cincin emas bernilai RM560, mengikut Seksyen 395 kanun sama yang membawa hukuman hukuman penjara dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 7 Februari untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 10:56 PM