ANGGOTA Penguatkuasa JPJ memeriksa motosikal dalam Operasi Khas Motosikal selama tiga jam. FOTO Omar Osman
ANGGOTA Penguatkuasa JPJ memeriksa motosikal dalam Operasi Khas Motosikal selama tiga jam. FOTO Omar Osman
Omar Osman


Sungai Petani: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Sungai Petani mengeluarkan 169 notis kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dalam Operasi Khas Motosikal selama tiga jam di Jalan Bakar Arang, di sini.

Ketuanya Mohamad Jalil Mat Lazim berkata, Operasi Khas Motosikal itu dilaksanakan sempena Tahun Baru malam tadi dan pihaknya kesal apabila mendapati ramai penunggang motosikal terutama remaja tidak memiliki lesen memandu.

"Sepanjang tiga jam operasi khas yang diadakan di Jalan Bakar Arang di sini bermula dari 8 hingga 11 malam tadi, 169 notis di keluarkan kepada penunggang atas pelbagai kesalahan.

"Dari jumlah itu, 72 penunggang didapati tidak memiliki lesen memandu termasuk remaja bawah umur, 34 kes cukai jalan dan insurans tamat tempoh dan baki pelbagai kesalahan lain.

"Hal ini amat membimbangkan dan kita akan sentiasa menjalankan operasi bagi menangani masalah ini," katanya pada sidang media selepas operasi, malam tadi.

Beliau berkata, semua yang diberi notis perlu tampil ke pejabat JPJ dan sekiranya mereka gagal hadir, notis terbabit akan bertukar kepada saman.

Hadir sama Ketua Seksyen Penguat kuasa JPJ Kedah, Megat Sharifuddin Megat Zakir.

Operasi terbabit disertai 60 anggota terdiri daripada JPJ, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 4:09 PM