SEMUA tangkapan diarah menolak motosikal masing-masing ke Unit Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh. FOTO Muhammad Apendy Issahak
SEMUA tangkapan diarah menolak motosikal masing-masing ke Unit Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Polis memberkas lebih 300 mat rempit dalam operasi besar-besaran di Jalan Pasir Puteh di sini, hari ini.

Operasi 4.15 pagi itu dilaksanakan sempena ambang tahun baru dan kesemua penunggang dan pembonceng ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram.

Menurut sumber, tangkapan membabitkan 375 lelaki dan 11 wanita termasuk 53 pelajar.

"Kesemua mereka berjaya ditahan selepas dikepung di simpang empat lampu isyarat Jalan Pasir Puteh, berhampiran Taman Shantin, di sini oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

"Pasukan polis bertindak mengepung keempat-empat jalan di persimpangan lampu isyarat berkenaan menyebabkan kesemua mat rempit terbabit terperangkap," katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Sumber berkata, kesemua tangkapan itu kemudian diarah menolak motosikal masing-masing sejauh kira-kira 7 kilometer ke Unit Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh di Jalan Chamberlain Hulu di sini bagi tujuan dokumentasi.

"Setakat 9 pagi tadi, proses dokumentasi dan pengeluaran saman masih dijalankan dan dua lelaki ditahan kerana dipercayai menunggang motosikal curi.

"Pelbagai kesalahan trafik turut dikesan termasuj tiada lesen, cukai jalan serta ubah suai kenderaan," katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong dijangka membuat sidang media mengenai kejayaan tangkapan mat rempit terbesar itu, kira-kira 11 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 10:08 AM