GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Sufian Rosli


Kota Bharu: Wartawan wanita menerima panggilan ugutan bom, 5.51 petang semalam.

Mangsa berusia 36 tahun yang enggan dikenali berkata, ugutan itu mempunyai kaitan dengan laporan mengenai panggilan palsu bom di Mahkamah Kota Bharu dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kelmarin.

Katanya, ketika kejadian dia berada di Balai Polis Badang di sini untuk membuat liputan berkenaan satu kejadian lemas.

"Secara tiba-tiba saya menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali.

"Dia bertanyakan adakah saya yang menyiarkan artikel mengenai ancaman panggilan bom palsu sebelum mengeluarkan kata-kata ugutan berbunyi: ‘Saya ada bom ni... awak jangan main-main dengan saya, nanti saya letupkan awak,’ kepada saya.

"Bimbang dengan keselamatan, saya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah melalui telefon," katanya

Dalam pada itu, Sementara itu, Presiden Kelab Media Darul Naim (KEMUDI) Mohd Zailani Abd Rahman melahirkan rasa kesal berikutan ancaman terhadap wartawan itu.

"Justeru, KEMUDI menyarankan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan ugutan dan membawa mereka yang berkenaan kemuka pengadilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 12:06 PM