GEORGE Michael ketika konsert di California pada 25 Jun 2008. FOTO Reuters
GEORGE Michael ketika konsert di California pada 25 Jun 2008. FOTO Reuters
Agensi

London : Penyanyi popular George Michael meninggal dunia di rumahnya di Oxfordshire, England, kira-kira jam 2 petang semalam (waktu tempatan).

Menurut BBC, bekas anggota kumpulan Wham! berusia 53 tahun itu “meninggal dunia dalam keadaan tenang” di rumahnya pada hari Krismas.

Jurucakap polis berkata, pihak ambulans dihubungi untuk ke kediaman di Oxfordshire pada petang Krismas, semalam.

Sementara itu, publisis penyanyi itu dalam satu kenyataan mengesahkan berita itu.

"Kami mengesahkan anak, abang dan sahabat kesayangan kami, George meninggal dunia dalam keadaan tenang di rumahnya pada petang Krismas. Ia berita yang sangat menyedihkan.

"Dalam keadaan sukar ini, keluarganya meminta privasi mereka dihormati dan tidak diganggu. Buat masa ini tiada sebarang kenyataan akan diberikan," katanya.

George yang dilahirkan dengan nama Georgios Kyriacos Panayiotou di London menubuhkan kumpulan duo Wham! bersama rakan sekolahnya, Andrew Ridgeley dan tampil dengan album sulung, Fantastic pada 1983.

Bagaimanapun, mereka mula popular di Amerika Syarikat (AS) menerusi album kedua, Make It Big setahun selepas itu dengan lagu seperti Careless Whisper, Wake Me Up Before You Go-Go dan Freedom.

Pada 1987, George meninggalkan Wham! dan tampil dengan album solo berjudul Faith. Ia yang terjual lebih 20 juta unit di seluruh dunia turut memenangi Album Terbaik dalam Grammy Awards.

Secara keseluruhan, album penyanyi ini dijual lebih 100 juta unit sepanjang kerjayanya.

Pada 2011, penyanyi yang pernah mencetus kontroversi akibat pengambilan dadah dan kecenderungan seksualnya pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat pneumonia.

Dua tahun kemudian, George cedera di kepala selepas terjatuh dari kereta yang sedang bergerak di sebuah lebuh raya di United Kingdom dan dibawa dengan helikopter ke hospital berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 8:42 AM