Shamsul Munir Safini dan Azma Razana Johari


Butterworth: Mendiang Mejar C Kayamboo, 45, yang terkorban dalam kejadian pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas Pangkalan Udara Butterworth adalah juruterbang terbaik serta merupakan jurulatih kanan juruterbang.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, mendiang bersama tiga lagi anak kapal sedang melakukan latihan penerbangan dan cuaca elok ketika kejadian.

Beliau berkata, pesawat Beechcraft King Air 200T TUDM yang terhempas petang tadi juga sudah lebih 20 tahun di dalam perkhidmatan.

"Pesawat berkenaan diselenggara dengan elok dan apa-apa punca kejadian akan diuji dan tiada sebarang andaian akan dibuat.

"TUDM sudah menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat punca nahas dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya wujud masalah teknikal yang menjadi punca nahas.

"Lembaga ini akan dianggotai lima ahli Lembaga Siasatan TUDM dan dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas menziarahi keluarga mendiang.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Dalam kejadian 5.18 petang, 21 Disember, pesawat yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang itu turut membawa tiga kru udara yang dilaporkan parah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 12:08 AM
AFFENDI Buang ketika sidang media di Hospital Seberang Jaya. FOTO Amir Irsyad Omar
AFFENDI Buang ketika sidang media di Hospital Seberang Jaya. FOTO Amir Irsyad Omar
AHLI keluarga Mejar C Kayamboo tiba di Hospital Seberang Jaya. FOTO Rosli Ahmad
AHLI keluarga Mejar C Kayamboo tiba di Hospital Seberang Jaya. FOTO Rosli Ahmad