PEMERIKSAAN lanjutan untuk mengenal pasti tinnitus.
PEMERIKSAAN lanjutan untuk mengenal pasti tinnitus.
TINNITUS memberi gangguan pada pendengaran.
TINNITUS memberi gangguan pada pendengaran.
TINNITUS menjejaskan kualiti kehidupan pesakit.
TINNITUS menjejaskan kualiti kehidupan pesakit.
PESAKIT sensitif terhadap bunyi.
PESAKIT sensitif terhadap bunyi.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Pasti antara kita pernah berasa seakan-akan telinga berdesing atau berdengung ketika menaiki kapal terbang atau tempat tinggi. Perkara ini normal kerana perubahan tekanan yang berlaku menyebabkan keadaan berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat satu keadaan bagi pesakit tinnitus iaitu persepsi bunyi tanpa kehadiran rangsangan luar.

Berasal daripada istilah Latin, ‘tinnere’ yang bermaksud nada, tetapi digunakan untuk menggambarkan bunyi yang berdesing, gemuruh, berdebar-debar atau klik, tinnitus mungkin simptom pertama untuk gejala proses penyakit yang mengancam kesihatan atau kesejahteraan pesakit.

Pakar Bedah Otorinolaringologi Hospital Pantai Klang Dr Rajveer Singh Saren berkata, dianggarkan terdapat sejuta orang di Malaysia mengalami tinnitus dan kelaziman tertinggi adalah pada usia 40 hingga 70 tahun manakala gejala penyakit itu lebih biasa dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

Tinnitus boleh mempunyai impak yang besar pada kualiti hidup pesakit. Ludwig Von Beethoven menyifatkan pengalamannya dengan tinnitus dalam surat kepada rakan pada 1801, ‘hanya telinga saya bersiul dan berdesing berterusan siang dan malam. Saya boleh katakan saya tinggal dalam hidup yang malang.’

Tinnitus boleh diklasifikasikan sebagai tinnitus objektif atau tinnitus. Tinnitus subjektif lebih kerap berbanding tinnitus objektif.

Tinnitus objektif berlaku apabila pesakit merasa bunyi yang dihasilkan oleh struktur paraauditori (saluran darah, telinga dalam, otot leher dan kerongkong) yang boleh didengar pemeriksa. Sebab yang mungkin termasuk tiub eustachian tidak berfungsi, kekejangan otot di dalam mulut atau leher dan masalah vaskular seperti aterosklerosis, tumor saluran darah dan anemia.

Tinnitus subjektif merujuk kepada bunyi tidak dapat didengar pemeriksa yang biasanya tanpa debaran. Tinnitus subjektif berkaitan dengan kurang pendengaran akibat usia meningkat, penyakit Meniere’s, otosklerosis, kanser nasofarinks, trauma kepala, akaustik neuroma, ubat-ubatan, masalah telinga tengah, tahi telinga, masalah sendi temporomandibular, hiperlipidemia, meningitis dan sifilis.

Tinnitus yang berkaitan dengan masalah saraf tidak mempunyai penjelasan fisiologi yang jelas mungkin disebabkan kecacatan koklear, saraf koklear dan bahagian otak yang mengendalilan pendengaran. Teori asal usul tinnitis yang dicadangkan secara umumnya membabitkan sel rambut yang hiperaktif atau ketidakseimbangan kimia di seluruh sel di dalam telinga tengah.

Menurut Dr Rajveer, penilaian dan keterangan pesakit dengan tinnitus perlu bermula dengan mengambil sejarah yang teliti. Kualiti bunyi, sama ada ia berdebar atau tidak, lokasi, kekuatan, kekerapan dan faktor yang mengurangkan atau menaikkan tinnitus perlu diambil kira.

Katanya, sejarah jangkitan atau trauma, pendedahan bunyi bising, penggunaan ubat-ubatan, sejarah perubatan (sama ada diikuti dengan kurang pendengaran atau vertigo) dan sejarah keluarga berkenaan kehilangan pendengaran.

“Seterusnya, pemeriksaan fizikal perlu dilakukan. Prosedur otomikroskopi perlu dilakukan untuk melihat gegendang telinga dan pergerakannya. Pemeriksaan hidung iaitu sinoskopi perlu dilakukan untuk memastikan tiada patologi hidung yang menyebabkan tinnitus.

“Dengan sejarah tinnitus berdebar, doktor perlu mencari bruit (bunyi saluran darah yang sempit) yang boleh didengar dengan menggunakan stetoskop. Pesakit perlu melakukan senaman ringan untuk melihat jika ini meningkatkan tinnitus berdebar.

“Tinnitus arteri asal biasanya menjadi lebih teruk dengan senaman. Sesetengah kes tinnitus arteriovenous boleh dikurangkan dengan tekanan ringan pada leher, menukarkan kepala atau dengan manuver Valsalva,” katanya.

Menurutnya, semua pesakit perlu menjalani ujian audiometrik termasuk audiometri ton asli, timpanometri dan pengukuran refleks akustik. Dalam kes vaskular, tiub eustachian bogel atau kekejangan lelangit tinnitus, gegendang telinga akan menunjukkan perubahan yang sepadan dengan nadi atau pergerakan lelangit.

Katanya, dengan masalah pendengaran asimetri dengan tinnitus, doktor mungkin juga akan mengesyaki tumor akoustik neuroma. Kajian darah yang perlu dilakukan juga termasuk hematokrit, gula, ujian antibodi treponemal, kajian tiroid dan lipid. Antara pengimejan yang kerap dilakukan ialah imbasan CT, MRI dan angiografi.

Ada pelbagai rawatan modaliti untuk tinnitus. Ini termasuk pengubahsuaian diet, ubat-ubatan, alat dengar, rangsangan elektrik, akupuntur, hipnosis dan pembedahan.

Sesetengah pesakit memerlukan hanya jaminan bahawa tinnitus bukan tanda penyakit perubatan yang serius. Mengelakkan perangsang seperti kopi, teh, coklat, minuman kola dan ubat-ubatan lain yang mengandungi kafein serta pemberhentian merokok boleh membantu sesetengah pesakit.

Pesakit perlu mengelakkan ubat-ubatan yang diketahui menyebabkan tinnitus seperti aspirin dan ubat tahan sakit (ubat antiradang bukan steroid).

Rawatan tinnitus termasuk:

• Penggunaan bunyi putih dari radio juga membantu dalam kes tertentu. Ubat-ubatan banyak dikaji untuk rawatan tinnitus, termasuk lidocaine, tocainide, carbamazepine, benzodiazepin, tricyclic antidepresan dan ginko biloba, tetapi tidak berkesan dan mempunyai kesan sampingan yang tinggi.

• Alat bantuan pendengaran, maskers atau kombinasi kedua-duanya boleh membantu sesetengah pesakit. Jika pesakit mempunyai kehilangan pendengaran, bunyi latar belakang alat bantuan pendengaran boleh mengurangkan tinnitus. Masker yang menghasilkan bunyi untuk menyembunyikan tinnitus dan mengurangkan rasa seksa pada pesakit.

• Terapi latihan tinnitus ialah satu teknik yang mana masker digabungkan dengan kaunseling.

• Implan koklea juga menunjukkan beberapa perubahan kelegaan daripada tinnitus.

• Sesetengah pakar melaporkan kejayaan dengan pembahagian saraf koklear kepada pesakit dengan tinnitus yang teruk.

• Rawatan lain termasuk biofeedback, hipnosis, rangsangan magnetik dan akupunktur. Bagaimanapun, bukan semua terapi sesuai untuk semua pesakit.

Tinnitus bukan saja satu masalah serius yang boleh mengganggu kesejahteraan dan kualiti hidup pesakit, ia juga susah dirawat. Penyelidikan yang berterusan untuk mekanisma dan rawatan tinnitus amat diperlukan untuk melegakan penderitaan pesakit tinnitus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 1:40 PM