NAJIB bersalam bersama Sirisena sempena lawatan ke Malaysia. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NAJIB bersalam bersama Sirisena sempena lawatan ke Malaysia. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Malaysia dan Sri Lanka bersetuju untuk berkongsi maklumat serta amalan terbaik dalam menghadapi cabaran semua bentuk keganasan, serta ancaman tradisional dan bukan tradisional lain.

Menurut kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena, kedua-dua pemimpin sebulat suara menolak ancaman dan mengutuk segala bentuk keganasan serta manifestasinya.

"Kami juga menyeru semua negara untuk menolak keganasan dan membawa pengkhianat yang melakukan keganasan (pengganas) ke muka pengadilan.

"Selain itu, kami juga bersetuju supaya isu antarabangsa perlu diselesaikan menerusi dialog secara aman dan saluran diplomatik," katanya.

Sirisena memulakan lawatan sulung beliau selama tiga hari ke Malaysia sehingga esok.

Beliau mula memegang Presiden Sri Lanka pada Januari tahun lalu.

Terdahulu, beliau dan delegasi diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, kira-kira 10 pagi.

Presiden Sri Lanka kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat oleh 103 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Perdana Menteri dan Sirisena kemudian mengadakan mesyuarat dua hala, sebelum menyaksikan majlis menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang berkaitan pelancongan; pembangunan belia; kebudayaan, seni dan warisan; pekerja asing serta kerjasama saintifik dan teknikal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 1:12 PM