TAN Sri Ismail Omar
TAN Sri Ismail Omar
Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam sejahtera buat pembaca budiman. Kita akan mengakhiri siri Mengenali Ketua Polis Negara yang berjalan selama lapan minggu berturut-turut sebelum ini, dengan berbicara mengenai khidmat bakti dan sumbangan Tan Sri Ismail Omar, Ketua Polis Negara Kesembilan, kepada Pasukan dan Negara.

Ismail dilahirkan pada 17 Mei 1953 di Kulim, Kedah dan memulakan perkhidmatan di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Pelatih pada 15 Disember 1971. Beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 13 September 2010 bagi menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang bersara wajib pada 12 September 2010.

Seperti KPN sebelumnya, Ismail amat mengambil berat mengenai usaha memantapkan kualiti perkhidmatan dan peningkatan imej PDRM. Sebagai pengemudi sebuah pasukan yang merupakan badan penguatkuasaan utama undang-undang di negara ini, beliau sedar bahawa prestasi PDRM di mata masyarakat, bergantung kepada keupayaan pasukan menangani dan mengurangkan kadar jenayah, seterusnya mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap PDRM. Ke arah itu, beliau memperkemaskan lagi sistem dan jentera pentadbirannya, selaras dengan asas yang telah diletakkan oleh pemimpin terdahulu dengan meneruskan kesinambungan konsep Pelan Strategik Lima Tahun (PS5T).

Ismail juga sedar bahawa hubungan yang baik antara PDRM dan pihak media adalah penting dalam usaha memacu dan meningkatkan imej PDRM di kaca mata rakyat tempatan dan juga luar negara. Sebaik sahaja menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Negara, beliau mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua Pengarang Media pada 15 September 2010 bagi tujuan mewujudkan platform kerjasama yang membolehkan pihak media bersama-sama terlibat dalam usaha mencegah jenayah, serta membantu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PDRM. Pihak media juga diminta agar dapat mencari kata sepakat dan bekerjasama dalam mencegah jenayah dan melaporkan kes yang benar, tanpa spekulasi.

Bagi merapatkan lagi jalinan hubungan antara PDRM dan masyarakat, sebuah Pusat Media telah diwujudkan (kini di bawah seliaan Komunikasi Korporat, Urusetia Ketua Polis Negara) dan merasmikan Facebook Rasmi PDRM pada 21 September 2010. Pusat Media ini dilihat mampu mewujudkan hubungan yang lebih erat antara PDRM dan pihak media, khususnya dalam menyampaikan berita dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis. Melalui Pusat Media PDRM ini juga, laporan yang disiarkan oleh pihak media akan lebih jelas, seimbang dan tepat dalam melaporkan sesuatu isu semasa serta menghakis spekulasi masyarakat terutamanya dalam kes yang menarik perhatian umum. Manakala Facebook Rasmi PDRM pula berjaya merapatkan lagi hubungan antara PDRM dan masyarakat ekoran wujudnya platform untuk netizen berkongsi maklumat ataupun merujuk kemusykilan mereka kepada pihak polis. Alhamdulillah, setakat ini Facebook Rasmi PDRM berjaya mencatat lebih dari 1.8 juta pengikut. Jelasnya, kewujudan Facebook ini adalah satu pendekatan yang turut membantu dalam memecahkan dinding halangan dan persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap pihak polis.

Seterusnya, bagi tujuan memantapkan lagi perkhidmatan PDRM kepada masyarakat, pendekatan 4P diperkenalkan pada 30 September 2010, yang membawa pengertian Protective, Performance and outcome oriented, Proactive and People oriented; 4 konsep yang harus wujud dalam perkhidmatan PDRM kepada masyarakat. Ismail berpendapat perlaksanaan 4P ini perlu diberikan penekanan kerana ia adalah pendekatan terbaik untuk memacu pasukan ke arah perkhidmatan yang lebih cemerlang. Ini adalah kerana elemen tersebut mendokong pendekatan ke arah:

l

Protective - setiap masyarakat perlu dilindungi oleh pihak polis,

l

Performance - menuntut warga PDRM menjalankan tugas yang diamanahkan dengan cemerlang,

l

Proactive – bagi melahirkan pegawai dan anggota yang berwibawa, cekap dan pantas dalam mengendalikan tanggungjawab, manakala

l

People oriented bermaksud setiap apa yang dilakukan oleh PDRM adalah untuk kebaikan rakyat di negara tercinta ini.

Selepas menyusun semula organisasi PDRM selaras dengan perkembangan semasa tanpa menjejaskan sedikitpun perlaksanaan konsep perkhidmatan yang telah diperkenalkan oleh pemimpin pasukan terdahulu, beliau mula turun padang untuk mendekati dan mendengar isi hati rakyat, khususnya dengan mengimarahkan masjid. Sebenarnya, hal kebajikan dan keagamaan seperti ini menjadi agenda utama beliau dalam wadah perjuangan beliau untuk menjadikan pasukan Polis Diraja Malaysia sebagai sebuah pasukan yang kuat serta berintegriti, mengimbangi kekuatan rohaniah dan jasmaniah. Beliau adalah Ketua Polis Negara pertama yang menjadikan masjid sebagai wadah untuk mengeratkan hubungan antara polis dengan masyarakat. Sekali gus memperlihatkan keazaman beliau sebagai pemimpin yang melihat aspek agama sebagai asas kekuatan rohani dan jasmani.

Bagi masyarakat yang menganut lain-lain agama, adat dan kepercayaan, wadah ini juga diperluaskan dengan beliau sendiri mengarahkan pegawai tinggi beliau yang bukan beragama Islam agar turun padang untuk menyemarakkan aktiviti di rumah ibadat. Ini bertujuan mendokong dasar ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang dapat dijelmakan melalui konsep Ibadah Sambil Berkhidmat.

Di peringkat antarabangsa pula, Ismail meneruskan kesinambungan hubungan baik dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melalui penglibatan pegawai dan anggota PDRM untuk menyertai Misi PBB. Ini dapat dilihat melalui keterlibatan PDRM dalam UNIPOL (United Nations Police) pada 2 November 2010, di mana seramai 35 orang pegawai dan anggota Advance Party dari Briged Sabah PGA, telah dihantar ke Timor Leste bagi menyambut seruan antarabangsa.

Pembaca yang saya sanjungi, semua Ketua Polis Negara yang kita kenali melalui ruangan ini, telah menempa sejarah dan nama masing-masing dalam usaha menjadikan PDRM sebagai sebuah pasukan yang berjaya berdiri teguh selama lebih 209 tahun. Pelbagai usaha dan insiatif telah dilaksanakan dalam era pentadbiran masing-masing sehingga berjaya membentuk sebuah pasukan polis yang unggul, dalam memenuhi kehendak dan hasrat masyarakat. Apa yang menjadi teras perjuangan utama setiap mereka ialah untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, memelihara keselamatan masyarakat dan kedaulatan negara, memerangi dan mengurangkan kadar jenayah serta mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.

PDRM akan terus berusaha menjadi benteng pertahanan yang ampuh kepada masyarakat dan negara, dengan menyusun pelbagai strategi yang mampu membawa pembaharuan serta agenda untuk meningkatkan prestasi pasukan. Ini melibatkan setiap aspek pentadbiran dalaman melalui pembentukan modal insan yang beretika dan berintegriti, berwawasan dan berinovatif.

Kita akan terus berusaha meneruskan legasi kepolisan yang wujud semenjak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu silam hinggalah ke era ini. Tanggungjawab dan amanah yang dipikul amat berat, khususnya dalam soal mengekalkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Kepada masyarakat, kami menyeru agar bersama-sama kami dalam usaha menjadikan negara ini aman dan makmur. Sesungguhnya, Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada.

Kepada Allah kami berserah, moga kami diberikan kekuatan zahir dan batin untuk meneruskan perjuangan kami kepada bangsa, agama dan negara, serta mampu berdiri teguh dalam mendepani pelbagai cabaran yang cuba melumpuhkan institusi kepolisan di negara ini.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 10:11 PM