IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Norizuan Shamsuddin


Kajang: Sepasukan anggota bomba menyelamatkan remaja berusia 17 tahun yang pengsan ketika mendaki puncak Bukit Broga, Semenyih, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan terdapat remaja perempuan pengsan, pada 12.36 tengah hari.

Katanya, tujuh pegawai dan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dikerahkan ke lokasi.

"Apabila tiba di lokasi iaitu di puncak kedua Bukit Broga didapati mangsa tidak sedarkan diri.

"Anggota menggunakan alat pengusung bagi menurunkan mangsa hingga ke kaki bukit dan seterusnya diturunkan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda sehingga ke kawasan letak kereta.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 7:33 PM