MENGGUNAKAN sulaman tangan dalam setiap rekaan busana.
MENGGUNAKAN sulaman tangan dalam setiap rekaan busana.
INDRI bersama barisan model yang menggayakan koleksi Indra Indri Albis Design.
INDRI bersama barisan model yang menggayakan koleksi Indra Indri Albis Design.
Siti Nadirah Hafidzin


Unik dan menarik. Ternyata, sisipan sulaman - unsur tradisional yang masih bertahan sehingga kini - bukan saja menyerlahkan rekaan busana Muslimah dari Indonesia malah ia berjaya mencuri hati penggemar fesyen tempatan.

Industri fesyen Islamik Indonesia kini semakin berkembang maju ke arah membentuk identiti sebagai pencetus trend busana Muslimah yang lebih bergaya serta mematuhi syariah.

Jenama fesyen dari Bandung, Indonesia, Indra Indri Albis Design tampil dengan koleksi terbaru, Mojang Bandung menerusi kolaborasi bersama empat jenama lain dalam pertunjukan fesyen ‘Product Bandung Local Brand Go International’ di Anggerik Mall Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menampilkan isteri vokalis kumpulan popular dari Indonesia, Pasha Ungu, Adelia Wilhelmina sebagai duta promosi, perekanya, Indri Albis berkata, koleksi Mojang Bandung adalah lambang busana wanita Bandung yang berpesonaliti baik.

“Indra Indri Albis Design adalah jenama pakaian Muslim dan Muslimah yang bertapak sejak 16 tahun lalu. Kami mengetengahkan pakaian dengan perincian sulaman tangan yang eksklusif untuk setiap busana.

“Melalui program ‘Product Bandung Local Brand Go International’ pada tahun ini, kami ingin melebarkan empayar fesyen Indra Indri Albis Design di Malaysia, sekali gus memperkenalkan rangkaian produk Islamik dari Bandung,” katanya.

Menampilkan enam persalinan lelaki dan wanita, Indri menghasilkan sendiri setiap pakaian bermula daripada proses membuat rekaan, pemilihan fabrik dan sulaman.

Mengetengahkan penggunaan fabrik sutera, kapas dan kain jacquard seperti baldu, setiap persalinan Indra Indri Albis Design direka sesuai dengan perkembangan fesyen semasa.

Indri berkata, koleksi itu adalah rangkaian pakaian eksklusif daripada jenamanya. Penggunaan fabrik sutera untuk koleksi kali ini banyak bermain dengan sutera maxmara dan satin manakala gabungan kain kapas pula praktikal untuk pemakaian harian, selesa serta tidak panas.

Tambahnya, pemilihan rona yang lebih cerah menampilkan personaliti lebih berani si pemakai, sekali gus menonjolkan lagi motif sulaman tangan yang terdapat pada setiap busana wanita dan lelaki.

“Perincian sulaman tangan menjadi lambang rekaan kami. Setiap motif sulaman biasanya diilhamkan mengikut lokasi negara yang bakal dikunjungi untuk pertunjukan fesyen Indra Indri Albis Design.

“Kami mahu menjadikan sulaman sebagai hiasan busana yang masih relevan dan setiap kali koleksi dikeluarkan, perincian akan dihasilkan mengikut aliran fesyen semasa,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 6:00 AM