Batam: Pasukan penyelamat Indonesia semalam menggunakan khidmat 151 penyelam terbaik negara itu bagi mencari bangkai dan kotak hitam sebuah pesawat polis yang terhempas di perairan Batam.

Jurucakap polis Indonesia, Martinus Sitompul berkata, kumpulan penyelam terbaik itu dipilih dari unit penyelam polis, tentera dan agensi penyelamat negara itu.

“Lokasi pesawat ini dipercayai terhempas sangat dalam dan memerlukan penyelam yang mahir serta berpengalaman untuk mencari bangkai itu.

“Penyelam bukan sahaja ditugaskan mencari kotak hitam pesawat tetapi perlu membawa naik mayat mangsa atau serpihan pesawat yang dijumpai,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, selain penyelam, beberapa kapal dan pesawat juga dikerahkan bagi mengesan serpihan bangkai pesawat berkenaan yang terhempas pada Sabtu lalu.

Pesawat polis M28 Skytruck itu dilaporkan terputus hubungan dan terhempas ketika dalam penerbangan dari Tanjung Pinang menuju ke Batam.

Ketika kejadian pesawat itu membawa lima anak kapal dan lapan penumpang.

Sehingga kini pasukan mencari dan menyelamat hanya menemui anggota badan mangsa dan serpihan pesawat di lokasi kapal terbang itu dilaporkan terhempas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:13 AM