Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Kegagalan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) membayar gaji pemainnya sehingga tertunggak lima bulan mengundang rasa kesal Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi entri terbaru di laman rasmi JOHOR Southern Tigers, Tunku Ismail berharap PFA dapat menyelesaikan kemelut itu secepat mungkin dan mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut memantau masalah itu.

“Tidak wajar sehingga pemain tidak dibayar gaji selama lima bulan dan saya kecewa kenapa perlu menahan gaji pemain.

“Mereka juga perlu menyara keluarga sehingga terpaksa bersara awal daripada bermain bola sepak dan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menyara kehidupan keluarga.

“Sebagai penaung PFAM saya amat terkilan dan ia harus diselesaikan secepat mungkin, malah PFAM sudah mengemukan kes ini kepada FAM dua bulan lalu, namun belum ada sebarang tindakan.

“FAM harus segera mengambil tindakan menyelesaikan perkara itu kerana kita tidak mahu kemajuan bola sepak terjejas angkara kegagalan membayar gaji pemain,” katanya.

Menurut Tunku Ismail, senario itu merugikan PFAM dan pemain jika isu berkenaan tidak diselesaikan secepat mungkin.

Ia meletakkan imej bola sepak negara tercalar angkara kegagalan membayar gaji pemain.

“Pemain sudah menunjukkan kesungguhan mereka di padang, justeru menjadi tanggungjawab setiap persatuan negeri dan kelab untuk memainkan peranan sewajarnya menjaga kebajikan pemain,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 7:15 AM