Azlan (tengah) serta Mohamad Ridzuan (dua, kiri) dan Abdul Latif (dua, kanan) bersama replika cek. FOTO BERNAMA
Azlan (tengah) serta Mohamad Ridzuan (dua, kiri) dan Abdul Latif (dua, kanan) bersama replika cek. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan negeri Perlis hari ini menyerahkan insentif berjumlah RM200,000 kepada dua wira paralimpik kelahiran negeri itu yang mengharumkan nama negara pada temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil.

Dua wira terbabit Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly masing-masing menerima RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputra 2 (ASB2).

Insentif disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan disaksikan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Tuan Abdul Jamil Saad.

"Inilah janji kerajaan negeri dahulu selepas mereka berjaya meraih pingat emas di Sukan Paralimpik di Brazil walaupun pemberian tertangguh hampir dua bulan," kata Azlan selepas upacara di Bangunan PNB di sini.

Kerajaan negeri sedang mengadakan perbincangan dengan Ridzuan dan Abdul Latif untuk pemberian satu lagi insentif berupa sebuah rumah yang berharga tidak kurang daripada RM300,000 kepada setiap seorang daripada mereka.

"Tempoh pemberian rumah itu bergantung kepada masa mereka, kerana pada masa ini mereka sibuk dengan latihan. Bila tiba masanya nanti, kita akan tentukan di mana lokasi rumah yang sesuai untuk mereka, tapi ia masih di Perlis," kata Azlan.

Sementara itu Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif melahirkan rasa syukur dengan insentif itu dan berterima kasih kepada kerajaan negeri.

"Semua duit itu saya akan simpan dan biarkan dalam ASB. Masih belum ada sebarang rancangan untuk menggunakan duit itu," kata Abdul Latif.

Dalam perkembangan lain, Abdul Latif berkata beliau sekarang dalam persedian untuk menyertai kejohanan Terbuka Malaysia pada Mac depan dalam usaha mencatat lompatan melebihi 7.40 meter.

"Walaupun saya sudah melepasi had kelayakkan Sukan SEA tapi saya perlu mencapai sasaran itu sebagai persedian untuk Sukan SEA tahun depan dan ia adalah penanda aras ditentukan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 5:22 PM