AHMAD Razif  (tiga dari kiri)  di majlis menandatangani perjanjian pembangunan pelaksanaan Projek ‘Waste to Wealth’ di antara Mercu RE Solution Sdn Bhd dengan Kerajaan Negeri Terengganu di Mandarin Oriental Hotel, semalam.
AHMAD Razif (tiga dari kiri) di majlis menandatangani perjanjian pembangunan pelaksanaan Projek ‘Waste to Wealth’ di antara Mercu RE Solution Sdn Bhd dengan Kerajaan Negeri Terengganu di Mandarin Oriental Hotel, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri Terengganu menandatangani perjanjian untuk melaksanakan pembangunan projek teknologi hijau ‘Waste to Wealth’ yang bernilai RM280 juta.

Menteri Besarnya, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek terbabit adalah yang pertama di rantau Asia Tenggara dan menggunakan teknologi dari Denmark yang dikenali sebagai REnescience.

Katanya, melalui teknologi itu, sisa pepejal dari Majlis Perbandaran Kuala Terengganu yang berjumlah lebih kurang 450 tan metrik sehari akan diproses dan menjadi bahan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

“Pelaburan ini dijangka menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan baharu di Terengganu dan berupaya melahirkan usahawan dalam industri kitar semula,” katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian projek ‘Waste to Wealth’ di sini, semalam.

REnescience ialah teknologi dari Denmark yang menawarkan pengurusan penyelesaian sisa buangan mapan khasnya bagi sisa pepejal majlis perbandaran.

Ahmad Razif berkata, projek untuk membina loji REnescience itu akan dimulakan awal 2017 dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2019.

“Pembangunan fasiliti projek itu akan ditempatkan di Tapak Pelupusan Sungai Ikan di Kuala Nerus di bawah Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dan pelaksanaan projek ini akan menjana RM236 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri pada tahun 2020,” katanya.

Menurutnya, bahan organik yang diproses oleh loji REnescience akan mengeluarkan bio methane yang boleh menjana tenaga elektrik dan pelabur juga sudah membuat kajian yang terperinci serta mendapati sisa perbandaran Kuala Terengganu berupaya menghasilkan lima megawatt tenaga elektrik yang akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Manakala, bagi bahan bukan organik pula seperti plastik ia akan diproses semula dan boleh menghasilkan 40,000 liter diesel sehari dan boleh diproses untuk menghasilkan resin yang akan menjadi bahan mentah bagi penghasilan produk plastik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mercu RE Solution, Ir Mohamad Adan Yusof berkata, selain Terengganu, pihaknya turut dalam perbincangan serius dengan kerajaan Johor dan Melaka bagi pembangunan projek yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 7:04 AM