ARJA bakal tampil dengan single rancak.
ARJA bakal tampil dengan single rancak.
Georgie Joseph


Mutakhir ini, pelakon dan penyanyi Arja Lee, 33, semakin jarang menghiasi kaca televisyen.

Dia dilihat lebih kerap muncul pada acara pertunjukan fesyen dan memuat naik nyanyiannya di Instagram.

Ketika dihubungi baru-baru ini, pelakon drama Misiku Kuza itu mengakui tawaran berlakon semakin berkurangan.

Namun dia tidak berjauh hati kerana masih ada komitmen seni lain yang perlu dilunaskan.

Arja turut menyelar dakwaan segelintir pihak bahawa dirinya tidak laku berikutan peningkatan usia.

“Saya akui tawaran berlakon tidak lagi serancak dulu. Bahkan saya tidak ada penggambaran hingga hujung tahun ini.

“Saya melihat senario ini secara positif. Apa yang berlaku ini adalah dugaan dan ia perkara biasa dalam dunia seni.

“Malah saya tidak terasa pun kalau pelakon muda lebih didahulukan penerbit dan pengarah. Rezeki masing-masing sudah tertulis dan saya reda,” katanya.

Kongsi Arja, meskipun karier lakonan agak suram, dia bersyukur kerana bidang nyanyian mula menampakkan sinar selepas tampil dengan dua single.

Malah penyanyi lagu Bintang Malam itu kini bernaung di bawah label yang menguruskan ramai bintang terkenal.

“Saya percaya dengan rezeki yang diatur Allah SWT. Peluang bernaung di bawah label ini memang dinantikan selama ini. Pendek kata apabila dapat tawaran saya terus bersetuju.

“Karier nyanyian saya sebelum ini kurang menjadi namun dengan bantuan tenaga kerja profesional, saya yakin akan ada perubahan besar yang bakal berlaku.

“Bukan saja profil label berkenaan sangat membanggakan malah mereka sudah mengatur beberapa perancangan untuk saya.

“Ia termasuk penghasilan single ketiga. Jika sebelum ini saya dikenali menerusi lagu balada, untuk single akan datang saya tampil dengan irama rancak dan lebih bertenaga,” katanya yang akan mendedahkan nama label itu tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 9:35 AM