Suspek samun yang dirakam CCTV. FOTO Eizairi Shamsudin
Suspek samun yang dirakam CCTV. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif

Kangar: Dua lelaki bersenjatakan parang dan kapak menyerbu kedai serbaneka 24 jam di Jalan Besar, Kuala Perlis sebelum melarikan wang tunai hampir RM3,000 dan beberapa kotak rokok, pagi tadi.

Kejadian berlaku pada 4.30 pagi apabila suspek yang memakai penutup muka datang ke kedai berkenaan menggunakan kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang lagi suspek.

Menurut pemilik premis berkenaan, Lim Hock Soon, 51, kedua-dua lelaki itu dipercayai meninjau terlebih dahulu keadaan persekitaran kedainya sebelum menyerbu masuk.

“Mereka terus menyerbu ke kedai ini sambil mengacukan parang dan kapak ke arah pekerja saya sebelum masuk ke kaunter untuk mengambil wang dan juga beberapa kotak rokok.

“Penjenayah turut mengacam untuk mencederakan pekerja saya jika melawan,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Hock Soon berkata, berdasarkan rakaman kamera litar terutup (CCTV) di kedainya itu, beliau percaya suspek berkenaan adalah suspek yang sama dipercayai menyamun satu lagi cawangan kedainya di Seriab pada awal bulan ini.

“Berdasarkan CCTV, kejadian hari ini sama seperti dua kejadian yang sama awal bulan ini, iaitu mereka mengenakan baju bertopi serta mengenakan penutup muka.

“Cara jenayahnya juga sama iaitu menyasarkan wang tunai dan rokok jenama Winston berwarna merah.

"Jika dua kejadian sebelum ini berlaku sekitar jam 6 pagi, kali ini saya lihat mereka bertindak lebih awal iaitu pada jam 4.30 pagi,” katanya.

Katanya, kerugian yang dialaminya bagi ketiga-tiga kejadian itu mencecah hampir RM10,000.

“Saya berharap kes ini dapat diselesaikan segera kerana khuatir kejadian yang sama berulang lagi, jika tidak kedai saya mungkin orang lain menjadi mangsaseterusnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superitendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya masih menyiasat kejadian berkenaan.

"Terdapat empat kes samun yang kita percaya dilakukan oleh suspek yang sama dimana tiga daripada kes itu berlaku di daerah Kangar iaitu dua di Seriab dan satu di Kuala Perlis.

"Manakala, satu lagi kes berkenaan dilaporkan berlaku di Arau," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Pihaknya kini memburu kedua-dua suspek berkenaan yang dipercayai berusia antara 20 hingga 25 tahun.

"Seorang mempunyai bentuk badan yang tinggi serta berambut panjang manakala rakannya pula mempunyai bentuk badan yang sederhana.

"Suspek ini dipercayai bergerak menggunakan kereta Perodua Kancil berwarna dan juga motosikal Modenas Kriss dan saya ingin menasihatkan kepada pemilik stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam supaya sentiasa berhati jika terlihat atau terserempak dengan suspek berkenaan,"

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana merompak dan mengugut bersenjata.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar di 04-977 4077.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 5:44 PM