Khairy akan dapat keputusan jemaah menteri Jumaat ini. FOTO HM
Khairy akan dapat keputusan jemaah menteri Jumaat ini. FOTO HM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keputusan untuk membawa pulang pasukan Harimau Malaysia daripada saingan Piala AFF yang sedang berlangsung di Yangon, Myanmar ketika ini hanya akan ditentukan barisan kabinet pada Jumaat ini.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, gesaan beberapa pihak yang mahu pasukan bola sepak negara memboikot kejohanan itu hanya boleh diputuskan menerusi keputusan jemaah menteri.

"Saya sudah bangkitkan (penarikan diri) pada minggu lalu tetapi berdasarkan kepada perkembangan terkini ada lebih banyak gesaan untuk kita menarik diri.

"Saya berpandu kepada Jemaah Menteri, Jumaat ini dan kita perlu dapat pandangan pihak lain seperti Kementerian Luar," katanya ketika ditemui pada program MyCorps-Timur Tengah di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul gesaan beberapa pihak termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyarankan agar skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menarik diri sebagai solidariti membantah kekejaman rejim junta tentera terhadap umat Islam di Myanmar.

Malaysia yang diletakkan dalam kumpulan B bersama pasukan tuan rumah, Kemboja dan Vietnam berjaya mencatatkan kemenangan pada aksi pembukaan Ahad lalu ke atas Kemboja dengan keputusan 3-2.

Malaysia bertemu Vietnam di Stadium Thuwunna, Yangon sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang Myanmar di venue yang sama Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 5:32 PM