PENERBANGAN sulung AirAsia secara terus dari Kuala Lumpur ke Luang Prabang, Laos selamat tiba. FOTO Muhammad Apendy Issahak
PENERBANGAN sulung AirAsia secara terus dari Kuala Lumpur ke Luang Prabang, Laos selamat tiba. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak

Luang Prabang, Laos: AirAsia meneruskan komitmen dalam pasaran ASEAN dengan penerbangan sulung laluan barunya yang menghubungkan Kuala Lumpur terus ke bandar Tapak Warisan Dunia UNESCO, Luang Prabang, di sini hari ini.

Penerbangan AK562 membawa 175 penumpang termasuk Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar, Ketua Bahagian Komersial Air Asia Berhad, Spencer Lee dan Pengarah Bahagian Produksi Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab serta wakil media itu tiba pada 9 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia).

Ketibaan penerbangan sulung itu disambut Duta Besar Malaysia ke Laos, Datuk Than Tai Hing dan Gabenor Luang Prabang, Khamkhan Chanthavysouk dengan simbolik pancutan air serta persembahan tarian tradisional Laos.

Aireen berkata, AirAsia gembira dapat menjadi syarikat penerbangan pertama dan satu-satunya menghubungkan Luang Prabang ke Kuala Lumpur secara penerbangan terus.

"Kami juga amat berbesar hati menjadi syarikat penerbangan yang menghubungkan rakyat Laos dengan dua bandar utama ASEAN iaitu Bangkok dan Kuala Lumpur yang kedua-duanya adalah hub utama AirAsia.

"Dari dua bandar utama itu, rakyat Laos dapat menyambung ke lebih 120 destinasi AirAsia di seluruh 27 negara dan kita juga harap perkembangan ini dapat membantu membangunkan sektor pelancongan dan ekonomi Laos," katanya dalam sidang media di sini sempena penerbangan sulung berkenaan hari ini.

Laluan ke bandar warisan ini adalah dengan kekerapan penerbangan empat kali seminggu iaitu Ahad, Isnin, Rabu dan Jumaat dengan promosi tambang murah untuk pembelian secara atas talian sehingga 27 November ini bagi jadual perjalanan menarik ditawarkan dari hari ini hingga 30 April 2017.

Keterangan gambar:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 2:51 PM