IHSAN Bomba dan Penyelamat
IHSAN Bomba dan Penyelamat
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Dua lelaki terperangkap di batu besar di tengah arus deras berpunca daripada kepala air di Air Terjun Kampung Orang Asli Pertak, di sini, hari ini.

Abdul Arif Fikri Ismail, 20, dan Muhamad Shamsuri Samsudin, 40, terperangkap sejak kira-kira 3 petang, sebelum diselamatkan sejam kemudian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan, berkata bomba menerima panggilan, pada 4.11 petang.

Katanya, enam anggota diketuai Komander Operasi Rosdi Shafie dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Mangsa terperangkap di tengah air terjun disebabkan kepala air yang turun selepas hujan lebat di lokasi kejadian.

"Mereka berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan tali tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Difahamkan, kedua-duanya bersama seorang lagi rakan dalam perjalanan pulang selepas mendaki Bukit Kutu, pagi ini.

Setibanya di sungai itu, ketiga-tiganya membersihkan badan sebelum dikejutkan dengan kepala air yang turun secara tiba-tiba.

Rakan mereka berjaya ke tebing namun kedua-duanya tidak sempat tetapi mujur berpeluang memanjat batu besar di tengah sungai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 9:30 PM