BOMBA sedang menjalankan operasi mengeluarkan jari mangsa yang tersepit pada tombol pintu dalam kejadian di Batu Arang Dua, Labuan. FOTO Mohd Ruzaini Zulkifli
BOMBA sedang menjalankan operasi mengeluarkan jari mangsa yang tersepit pada tombol pintu dalam kejadian di Batu Arang Dua, Labuan. FOTO Mohd Ruzaini Zulkifli
Mohd Ruzaini Zulkifli


Labuan: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan azab hampir dua jam selepas salah satu jari kanannya tersepit di tombol pintu rumahnya di Batu Arang Dua, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa Nazri Jumadi hanya mampu menangis sebelum jari hantunya itu dikeluarkan dari tombol berkenaan dengan bantuan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Jawa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.48 petang.

Beliau berkata, tujuh anggota kemudian dikejarkan ke rumah mangsa.

"Bomba mengambil masa kira-kira satu jam sebelum pihaknya mengeluarkan jari mangsa yang tersepit di tombol pintu berkenaan.

"Mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Nukleus Labuan untuk rawatan kecemasan," katanya.

Menurutnya, mangsa difahamkan mengalami kecederaan ringan dan bengkak di jari hantu sebelah kanannya serta dilaporkan stabil sebaik menerima rawatan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 8:13 PM