Sarah Zulkifli


Petaling Jaya: Lelaki yang dikaitkan dengan kejadian memukul tunangnya sehingga patah tulang pipi sehingga menjadi viral di laman sosial didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Zulkhairi Misman, 26, didakwa di atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap tunangnya, seorang jururawat.

Tertuduh yang juga bekas jururawat di hospital swasta, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Natasha Shareena Hairil Anuar, 24, dengan menumbuk sehingga retak tulang di bawah mata sebelah kanan mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No 9, Jalan SS 20/18, Damansara Kim, Damansara, di sini, pada 12.25 tengah malam, 7 November lalu dan didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 19 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 2:16 PM
TERTUDUH (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Azhar Ramli
TERTUDUH (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Azhar Ramli