PELUMBA Petronas Raceline Malaysia tepati sasaran 10 pelumba terbaik Moto2.
PELUMBA Petronas Raceline Malaysia tepati sasaran 10 pelumba terbaik Moto2.
Mohd Razlan Salleh


Mendapat jolokan sebagai ‘The Pescao’ dalam kalangan media dan rakan di MotoGP, pelumba negara daripada pasukan Petronas Raceline Malaysia Hafizh Syahrin, tekad untuk meraih kemenangan podium dalam pusingan perlumbaan Moto2 Shell Malaysia MotoGP, kali ini.

Namun, jelas anak jati Selangor berusia 22 tahun ini, kemenangan podium bukan satu perkara mudah, tambahan pula setiap pelumba memberi saingan sengit berikutan perlumbaan kini hanya berbaki satu pusingan di Valencia, Sepanyol pada 13 November depan selepas Litar Sepang.

“Perlumbaan tahun ini lebih sengit dan dapat dilihat dengan jelas apabila juara kategori Moto2 masih lagi terbuka.

“Berbanding tahun lalu, juara Moto2 dapat ditentukan lebih awal,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Vroom di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Hafizh, tidak terkecuali pasukannya turut memberi saingan dan bersaing menempah kedudukan terbaik berbanding tahun lalu.

“Syukur tahun ini, pasukan menyediakan jentera yang baik dan mampu memberi tekanan kepada pasukan lain yang lebih besar. Malah, saya juga berjaya mencatatkan kedudukan lapan pelumba terbaik dalam Moto2,” katanya.

Hafizh berkata, peningkatan ketara itu disebabkan pengalaman dan kepakaran pasukan dalam usaha membentuk jentera terbaik.

“Tahun ini juga saya lebih yakin dan banyak belajar daripada pengalaman sepanjang beraksi di MotoGP sejak dua tahun lalu.

“Antaranya mengenai strategi penggunaan tayar, penyediaan motosikal dan lebih memahami keadaan litar serta mengawal emosi,” katanya.

Bernaung di bawah Program Pembangunan Bakat PETRONAS (PETRONAS Talent Development Programme), Hafizh memulakan karier sebagai pelumba seawal usia sembilan tahun menerusi perlumbaan pocket bike sebelum beralih ke arena Kejuaraan Cub Prix Malaysia di usia 13 tahun.

Beliau kemudian mula mengorak langkah ke peringkat antarabangsa apabila dipilih untuk menyertai Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS pada 2010 dalam kategori SuperSports 600cc.

Kerjayanya sebagai pelumba semakin bersinar apabila dipilih menyertai GP Malaysia (Moto2) atas tiket wildcard pada 2011 sebelum dia beralih ke Kejuaraan Sepanyol (CEV) tahun seterusnya dan Kejuaraan Moto2 dunia pada 2014.

“Saya bersyukur dengan apa yang dicapai tahun ini berbanding dua tahun lalu termasuk berjaya melepasi sasaran 100 mata dan mengekalkan kedudukan antara 10 pelumba terbaik dalam Moto2.

“Namun, kedudukan saya terkini jatuh satu anak tangga ke tangga kesembilan selepas gagal menamatkan perlumbaan di Philip Island, Australia sebelum ini,” katanya.

Katanya, perlumbaan di tempat sendiri memberi sedikit kelebihan berbanding pelumba lain terutama dalam aspek keadaan litar dan cuaca.

“Saya sudah mencuba permukaan baru Litar Sepang selain sudah biasa berlumba dalam keadaan cuaca panas.

“Sebenarnya dalam perlumbaan Moto2, tidak mudah untuk mencatat posisi grid terbaik kerana perbezaan satu saat daripada pendahulu menyebabkan kita mungkin bermula dari petak ke-25,” katanya.

Bagaimanapun, Hafizh berkata, perbezaan satu saat adalah perkara biasa kerana setiap pelumba cuba mencatatkan masa terpantas untuk berada di kedudukan permulaan terbaik.

“Saya berharap mampu beraksi lebih baik di Litar Sepang kali ini berbanding tahun lalu dan meminta peminat serta seluruh rakyat negara ini mendoakan kejayaan saya untuk meraih kemenangan podium.

“Kejayaan podium adalah hadiah terbaik bukan sahaja untuk diri saya dan pasukan, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:02 AM