Orang ramai memerhati anggota polis memeriksa kandungan dalam kenderaan dinaiki Datuk Bandar Saudi Ampatuan dan kumpuannya. - Foto AP
Orang ramai memerhati anggota polis memeriksa kandungan dalam kenderaan dinaiki Datuk Bandar Saudi Ampatuan dan kumpuannya. - Foto AP
Agensi

Kidapawan, Filipina: Seorang datuk bandar yang termasuk dalam senarai pegawai kanan kerajaan dituduh Presiden Rodrigo Duterte terbabit dalam pengedaran dadah, mati ditembak pasukan khas polis bersama sembilan pengawal peribadinya hari ini.

AFP melaporkan, jurucakap polis, Superintendan Romeo Galgo, berkata Samsudin Dimaukom, Datuk Bandar Saudi Ampatuan di selatan Filipina dan pengawal peribadinya melepaskan tembakan terhadap pasukan polis anti dadah yang menahan kenderaan mereka di sekatan jalan raya di Makilala, 950 kilometer di selatan Manila selepas disyaki membawa dadah.

Menurutnya, polis membalas tembakan dan membunuh semua mereka dalam kenderaan itu.

“Mereka bersenjata lengkap dan ia alah operasi membanteras dadah yang sah,” katanya.

Menurut AP, polis mendapat maklumat kumpulan Samsudin merancang membawa sejumlah besar dadah jenis methamphetamine atau shabu dari m Davao ke Saudi Ampatuan.

Ogos lalu, Duterte berkata, Samsudin adalah seorang daripada 150 pegawai kanan kerajaan, termasuk hakim serta polis yang dikenal pasti terbabit dalam sindiket dadah dan mengarahkan mereka menyerah diri.

Datuk bandar itu menafikan dia terbabit dengan pengedaran dadah malah memberitahu media turut berjuang memerangi dadah dan menyokong Duterte.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 3:07 PM