DAVE (berdiri tengah) bersama sebahagian artis yang menerima bantuan YA1M.
DAVE (berdiri tengah) bersama sebahagian artis yang menerima bantuan YA1M.
Michelle Gun


Sempena sambutan Deepavali Sabtu ini, Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) menyampaikan sumbangan kepada 21 artis veteran tanah air berbilang kaum yang berusia 60 tahun ke atas.

Majlis di Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur baru-baru ini menyaksikan setiap artis menerima sumbangan RM2,000 bagi meringankan bebanan mereka.

Pengerusi YA1M Datuk Irwan Shah atau DJ Dave berkata, sejak ditubuhkan pada 2012, YA1M membantu lebih 800 artis dan karyawan di seluruh negara.

“Pihak yayasan sentiasa prihatin terhadap kebajikan artis dan akan menghulurkan bantuan untuk membiayai perubatan serta keperluan tanpa mengira usia.

“Baru-baru ini juga, kami turut ke Sabah dan Sarawak untuk menyampaikan sumbangan kepada 10 artis,” katanya.

Menurutnya, artis boleh membayar RM100 setahun agar wang itu dapat memanfaatkan setiap ahli apabila jatuh sakit atau meninggal dunia.

“Dana diterima pihak yayasan tidak pernah disalah guna dan diberikan sepenuhnya untuk artis dengan ikhlas,” katanya.

Dave berkata, pihak yayasan turut aktif mengadakan pelbagai aktiviti seperti seminar menguruskan kewangan dan kesihatan untuk ahli setiap tahun.

Sementara itu, individu dan syarikat korporat dialu-alukan menderma kepada YA1M dan maklumat lanjut boleh melayari laman web www.ya1m.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 1:26 PM