KEADAAN Proton Saga yang dipandu mangsa. FOTO ihsan DBKL
KEADAAN Proton Saga yang dipandu mangsa. FOTO ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki, 23, parah apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan yang masuk ke laluan bertentangan di Jalan Mahameru menghala ke Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.00 pagi itu, mangsa yang memandu kereta Proton Saga dirempuh kereta BMW X6 yang masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan kenderaan mangsa remuk akibat pelanggaran itu.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superitendan Shafie Daud berkata, kemalangan itu berlaku

apabila sebuah kereta memberhentikan kenderaannya secara mengejut di selekoh berkenaan.

"Pemandu BMW X6 yang memandu di lorong kedua cuba mengelak daripada melanggar kereta itu menyebabkan ia berpusing lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh Proton Saga terbabit.

"Rempuhan itu menyebabkan Proton Saga terbabit remuk serta rosak sepenuhnya, manakala pemandunya cedera di bahagian kaki kanan dan badan," katanya.

Pemandu BMW X6 pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 1:22 PM