BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan meminda Akta Kebankrapan 1967 mulai awal tahun depan yang dijangka memberi perhatian terhadap mereka yang diisytiharkan bankrap terutama kerana menjadi 'penjamin sosial'.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Bajet 2017 bagaimanapun berkata, perincian mengenainya sedang dilakukan dan butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Mereka yang diisytiharkan bankrap, terutamanya 'penjamin sosial' misalannya penjamin biasiswa...dan antaranya mereka yang menghidap penyakit kronik setelah disahkan oleh hospital kerajaan juga mereka yang telah berumur," katanya.

Menurut data statistik kebankrapan Jabatan Insolvensi Malaysia, bagi tempoh 2011 hingga Disember tahun lalu, ada 101,537 kes bankrap dilaporkan.

Bagaimanapun tiada data mengenai jumlah individu diisytiharkan bankrap disebabkan menjadi penjamin sosial kepada peminjam yang gagal membayar hutang.

Pada Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata kebanyakan kes bankrap pada 2014 dan tahun lalu, berpunca daripada masalah pinjaman peribadi dan masalah sewa beli kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 8:55 PM