Antara yang ditahan dalam operasi di Jalan Ayer Hangat, Langkawi. - Foto Ihsan PDRM
Antara yang ditahan dalam operasi di Jalan Ayer Hangat, Langkawi. - Foto Ihsan PDRM
Hamzah Osman

Langkawi: Lima remaja lelaki dan seorang perempuan berusia antara 16 hingga 18 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam lumba haram menerusi Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Ayer Hangat, di sini, malam tadi.

Operasi mulai jam 12 tengah malam itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi bagi membanteras lumba haram dan samseng jalanan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Langkawi Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh berkata, pihaknya melakukan intipan dan pemantauan di kawasan terbabit yang kerap menjadi tempat lumba haram.

"Pada 12.45 tengah malam, sepasukan anggota yang membuat pemantauan di Jalan Padang Matsirat-Kuah mengekori sekumpulan 20 motosikal yang leka berlumba dan melakukan aksi berbahaya.

"Lima motosikal dalam kumpulan itu ditunggang laju dan melakukan aksi berbahaya," katanya di sini, hari ini.

Mahadhir berkata, polis menahan lima penunggang motosikal dan seorang pembonceng itu sejurus mereka tiba di Jalan Ayer Hangat berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat di sini.

Katanya, semua motosikal dan mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Langkawi untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 5:21 PM