BARISAN deejay Rao.FM pada sesi penjelajahan yang diadakan.
BARISAN deejay Rao.FM pada sesi penjelajahan yang diadakan.
DJ Aneh mengasaskan Rao.FM pada Oktober lalu.
DJ Aneh mengasaskan Rao.FM pada Oktober lalu.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Masyarakat Melayu Rao atau sinonim dengan Melayu Rawa kini boleh berbangga kerana mempunyai saluran radio sendiri iaitu Rao.FM yang beroperasi secara online.

Menggunakan slogan 'Tak Tun Tuowng Klamei Jagowng', Rao.FM yang diasaskan Johanis Azizi atau DJ Aneh Rawo pada 1 Oktober lalu kini berjaya menarik lebih 1,000 pendengar terutama dalam kalangan masyarakat Rao.

Justeru, sebagai mempromosikan stesen ini, buat julung kalinya Rao.FM memulakan siri penjelajahan 'Menjangkau Pendengar Rao.FM' melalui program Mini Karnival Rao.FM yang berlangsung di Kompleks Sukan Hulu Bernam baru-baru ini.

Ia dirasmikan Penasihat Komuniti Rao Datuk Musa Nordin manakala program Mini Karnival Rao.FM disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam Datuk Rosni Sohar.

Mini Karnival Rao.FM ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya jualan makanan Rao, pemeriksaan kesihatan secara percuma, kempen pencegahan nyamuk aedes, pameran rukun tetangga, pertandingan melukis, penyampaian hadiah untuk pelajar UPSR dan PSRA, pertunjukan tarian, persembahan kumpulan Aneh Band dan nyanyian lagu Rao oleh Ahmad Syakir.

Di samping aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini, orang-orang Rao yang hadir turut berpeluang untuk bertemu dengan saudara-mara dan bersantai sambil berbual dalam bahasa Rao.

Aktiviti ini dinamakan 'berandei'.

DJ Aneh berkata, dia lega dan gembira dengan sambutan hangat yang diberikan masyarakat Rao terhadap karnival itu.

"Buat masa ini, Rao.FM menggunakan laman Facebook 'Rao Malaysia' yang diasaskan Norhaidatul Tajul Ariffin untuk menyebarkan maklumat mengenai aktiviti Rao.FM.

"Pendengar juga boleh berinteraksi dengan penyampai radio untuk membuat permintaan lagu, berkomunikasi dengan ahli kumpulan dalam bahasa Rao dan juga berbalas-balas pantun.

"Ini bersesuaian dengan objektif penubuhan Rao.FM untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Rao dan menghidupkan bahasa, adat, budaya dan sejarah Rao," katanya.

Siri penjelajahan Menjangkau Pendengar Rao.FM seterusnya disasarkan di kawasan yang terdapat ramai penduduk masyarakat Rao.

Penjelajahan seterusnya akan diadakan di Tapah, Perak pada Febuari 2015 diikuti dengan Gopeng, Selama di Perak sebelum ke Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan kemuncaknya di Kuala Lumpur.

Rao.FM menyasarkan 10,000 pendengar dalam masa setahun dan merancang untuk menubuhkan stesen radio sendiri apabila sasaran ini tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:02 AM