TUNKU Mu’tamir (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Ayam Brand, Ting Seng Hee (berdiri, kiri) melihat penyediaan bento ketika kempen ‘Bento Kids Could Do!’, baru-baru ini.
TUNKU Mu’tamir (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Ayam Brand, Ting Seng Hee (berdiri, kiri) melihat penyediaan bento ketika kempen ‘Bento Kids Could Do!’, baru-baru ini.
Nor Faizah Mohamed


Ramai yang masih mempunyai persepsi negatif makanan dalam tin tidak sesuai dinikmati terutama untuk kanak-kanak.

Namun, makanan dalam tin seperti sardin dan tuna sebenarnya kaya kandungan vitamin yang penting untuk kesihatan badan.

Selain itu, makanan dalam tin seperti ini juga dikatakan sesuai dijadikan menu sihat dalam pengambilan harian untuk seisi keluarga.

Menyedari hakikat itu, jenama makanan berkaleng berkualiti Ayam Brand memberi beberapa tip memasak menggunakan sardin dan tuna dalam tin sebagai usaha menggalakkan tabiat pemakanan seimbang dalam kalangan kanak-kanak dan golongan dewasa.

Menerusi kempen ‘Bento Kids Could Do!’ yang diperkenalkan, Ayam Brand berusaha menyediakan 243,000 makanan sihat dengan memberi manfaat kepada lebih 16,100 individu daripada 362 pertubuhan amal dan rumah kebajikan di seluruh negara.

Untuk kempen tahun ini, 50 rumah kebajikan dari seluruh Malaysia dan Brunei menerima produk Ayam Brand termasuk tuna, ikan tongkol, jagung, kekacang yang diproses, ketulan nanas serta kacang panggang yang cukup untuk kegunaan isi rumah sekurang-kurangnya dua bulan.

Lebih 1,300 kanak-kanak, warga kurang upaya, ibu tunggal serta warga emas bakal menikmati bantuan makanan ini.

Selain menyumbang produk makanan diperlukan, program tanggungjawab sosial korporat tahunan ini menambah aktiviti baru setiap tahun bagi membolehkan kanak-kanak kurang bernasib baik membabitkan diri dalam aktiviti peningkatan pendidikan dan memupuk kreativiti serta tabiat pemakanan yang sihat.

Demonstrasi masakan, pertandingan memasak dan pertandingan seni menjadi agenda aktiviti tahun lalu.

Bagi edisi kali ini, kelas penyediaan bento diadakan. Bento ialah cara hidangan popular di Jepun menggunakan bahan seperti beras, ikan, daging, sayuran yang dijeruk atau dimasak serta buah-buahan.

Bahan ini akan diletakkan di dalam bekas bento yang cantik dan mempunyai nilai nutrisi seimbang.

Kanak-kanak ini diajar cara menyediakan empat hidangan istimewa Ayam Brand iaitu campuran salad buah, kacang panggang, sandwic sardin berbentuk hati dan tuna Onigri, yang disediakan di bawah penyeliaan cef selebriti, Cef Loke dari Sekolah Masakan T-Garden.

Kempen ini juga selaras dengan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memerangi obesiti dengan mendidik dan menggalakkan kanak-kanak untuk membuat pilihan makanan yang tepat.

Di Kuala Lumpur dan Selangor, antara rumah kebajikan yang terbabit dalam kempen ini ialah Rumah Anak Yatim Nur Qaseh Taman Melawati, Pusat Jagaan Anak Yatim Miskin Penyayang Nur Iman, Rumah Kanak-kanak Triniti, Rumah Victory - Children and Youth Home, Rumah Shalom, Rumah Sayangan, Angels Children’s Home, Society of St Vincent De Paul dan Rumah Ozanam.

Ayam Brand menekankan sumbangan tuna, sardin dan ikan kembung menerusi produknya kerana ada rumah kebajikan kekurangan akses terhadap sumber Omega-3 yang baik.

Menurut Pengerusi Ayam Brand, Tunku Datuk Mu’tamir Tunku Mohamed, jenama terbabit berbesar hati melihat kempen ini mendapat sambutan dan kini diperluaskan lagi berbanding ketika diperkenalkan pada 2008.

“Kami merancang aktiviti berbeza untuk kanak-kanak ini setiap tahun, biasanya berkaitan dengan masakan dan pemakanan seimbang agar mereka boleh belajar menghargai makanan yang baik sambil meningkatkan skil kemahiran hidup,” katanya.

Ayam Brand turut percaya bahawa kempen ‘Bento Kids Could Do!’ ini berupaya menjadi platform yang ideal untuk kanak-kanak mendapatkan pendedahan kepada kemahiran masakan yang boleh membantu membina keyakinan diri, sekali gus mengajar mereka lebih berdikari.

“Bento adalah satu kemahiran berguna bagi kanak-kanak serta orang dewasa dalam menyediakan makanan ke sekolah ataupun ke tempat kerja.

“Ia sihat, berpatutan dan menjadi alternatif jika tidak mahu membeli makanan di luar. Bento juga boleh membantu kita mengawal saiz hidangan lalu dapat menghalang obesiti,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Ayam Brand dan kempen ini boleh layari www.ayambrand.com.my atau https://www.facebook.com/AyamBrand.Recipes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 10:01 AM