TAN Sri Abdul Rahman Hashim.
TAN Sri Abdul Rahman Hashim.
Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali dalam siri mengenali Ketua Polis Negara (KPN), yang kini masuk ke minggu ketiga. Kali ini, saya ingin berkongsi sejarah perkhidmatan dan pengorbanan KPN Ke-3 iaitu Tan Sri Abdul Rahman Hashim.

Abdul Rahman dilahirkan pada 17 Julai 1925 di Yan, Kedah. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai kerani percubaan di Jabatan Pos dan Telegraf pada 6 Ogos 1941, sebelum memasuki perkhidmatan polis sebagai Chief Sub Inspektor pada 17 Oktober 1941. Berkat prestasi kerja yang cemerlang, beliau kemudian dimajukan ke pangkat Inspektor Percubaan pada 1 April 1946.

Pada 21 April 1953, beliau dihantar ke United Kingdom untuk mengikuti kursus tiga bulan di Mill Meece Police Training Centre, Staffordshire dan sekembalinya ke tanah air, ditugaskan ke Cawangan Khas pada 13 Oktober 1953. Antara 16 Mac 1954 sehingga 31 Disember 1954, beliau ditugaskan sebagai Ketua Jurulatih di Sekolah Latihan Cawangan Khas. Pada 22 September 1957, beliau sekali lagi dihantar ke United Kingdom untuk mengikuti kursus enam bulan di Bramshill Police College, Rynton-on-Dunsmore. Kejayaan demi kejayaan melakar kerjaya beliau di mana jawatan yang disandang merangkumi Ketua Cawangan Khas Pulau Pinang (1960), Timbalan Pengarah Cawangan Khas (1963), Pengarah Cawangan Khas (1971), Timbalan Ketua Polis Negara (1972) dan kemuncaknya sebagai Ketua Polis Negara yang ke-3 pada 1 Februari 1973.

Pemantapan Perkhidmatan

Sebagai pemimpin dalam organisasi besar seperti PDRM, Abdul Rahman telah melaksanakan dasar untuk meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan PDRM kepada masyarakat. Usaha ini penting kerana negara ketika itu masih berhadapan dengan ancaman komunis, di samping ancaman jenayah yang berterusan mengganggu gugat keharmonian hidup masyarakat.

Dalam tahun pertama perkhidmatannya, beliau menyusun semula organisasi pasukan polis di semua peringkat, bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan untuk menyokong tanggungjawab beliau sebagai KPN. Beliau telah merangka strategi baru bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan di bidang pentadbiran, penyiasatan, operasi dan juga latihan, demi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Abdul Rahman turut memperkenalkan konsep balai polis bergerak bagi tujuan memberikan perkhidmatan polis secara terus kepada orang ramai di lokasi yang ditetapkan dan konsep ini terus diguna pakai sehingga ke hari ini.

Semangat dan pengorbanan

Dalam melaksanakan tugas sebagai KPN, beliau bukan sahaja menumpukan usaha memantapkan perpaduan di kalangan anggota pasukan dan pencegahan jenayah, malahan untuk mematahkan gerakan anasir Parti Komunis Malaya (PKM) yang mula meningkatkan aktiviti keganasan bermula pada 1968, sewaktu era Insurgensi ke-2 PKM.

Ketegasan dan kecekapan beliau dalam merancang dan mengatur strategi untuk melaksanakan gerakan bagi mengekang keganasan dan kegiatan komunis, memberi kesan kepada pihak yang menimbulkan keadaan kekacauan dan huru-hara di dalam negara. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan anasir antinasional, terutama sekali pihak yang mempunyai hubungan rapat dengan PKM.

Atas dasar ketegasan beliau yang tanpa rasa takut dan gentar melancarkan gerakan pembasmian ini, pihak musuh telah mengambil tindakan yang kejam dengan melancarkan serangan hendap ke atas beliau pada 7 Jun 1974, ketika kenderaan rasmi beliau berada di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu di belakang Bangunan Lee Yan Lian, Kuala Lumpur. Ketika itu, dua lelaki yang tidak dikenali melepaskan tembakan terhadap Abdul Rahman dan pemandunya. Akibat serangan itu, beliau telah terbunuh dan pemandunya mengalami kecederaan parah. Abdul Rahman terkorban sebagai seorang wira.

Pengorbanan Allahyarham telah menyemarakkan lagi semangat juang seluruh warga PDRM dan menjadi inspirasi bukan sahaja kepada anggota pasukan polis, bahkan juga kepada segenap lapisan masyarakat yang cintakan perpaduan dan keamanan negara. Walaupun hanya memegang jawatan sebagai KPN selama 16 bulan, pengorbanan Allahyarham amat tinggi nilainya kepada tanah air. Ia juga mengingatkan kita semua tentang mahalnya nilai sebuah keamanan dan kedaulatan negara yang harus kita pertahankan.

Watan kehilangan seorang wira dan PDRM kehilangan seorang pemimpin yang mempunyai semangat pengorbanan yang cukup tinggi.

Sama-samalah kita berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan dihimpunkan di kalangan mereka yang syahid. Marilah kita sama-sama meneruskan semangat keperwiraan dan keberanian Allahyarham dalam memastikan negara ini bebas daripada sebarang bentuk percubaan dan agenda jahat pihak yang ingin mengganggu gugat keselamatan tanah air kita yang tercinta ini.

Salam hormat dan kita jumpa lagi di minggu hadapan untuk menelusuri pula sejarah perkhidmatan dan sumbangan KPN Keempat iaitu Tun Mohammed Hanif Omar. Insya-Allah.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 12:59 PM