Norasikin Daineh


Tawau: "Saya menjerit panggil mak, ayah dan adik. Kemudian saya nampak ayah ketika itu cuba menyelamatkan adik yang berada di bilik.”

Itu kata Marwa, 31, menceritakan semula detik cemas kebakaran rumahnya di Kampung Otentik Tanjung Batu Keramat, kira-kira 5 pagi ini.

Dalam kejadian itu, ayahnya, Buhari Langga, 57, ditemui maut di pintu dapur dekat tandas manakala adiknya, Nur Aisyah, 22, turut meninggal dunia dipercayai terjatuh dari bilik ke tingkat bawah.

Marwa berkata, ketika kejadian mereka empat beranak sedang tidur di bilik masing-masing dan hanya menyedari kejadian itu selepas api sudah berada di bumbung rumah.

Manurutnya, dia bersama ibu, Bacce Jappareng, 48, berjaya keluar dari rumah.

“Saya sangka ayah dan adik saya juga sempat menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Zon Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Ismaidi Ismail berkata, lima rumah terbakar dan terdapat dua mangsa rentung di rumah pertama yang terbakar.

"Mangsa pertama ditemui pada 6.45 pagi. Ditemui di tingkat bawah dan kita percaya terjatuh dari bilik tingkat atas manakala mangsa kedua ditemui pada 8.02 pagi. Dipercayai cuba memadamkan api sebelum terperangkap dalam kejadian itu," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 10:48 AM
MARWA (tudung biru) bersama ibunya Bacce Japperang (kanan) ditenangkan ahli keluarga. FOTO Norasikin Daineh
MARWA (tudung biru) bersama ibunya Bacce Japperang (kanan) ditenangkan ahli keluarga. FOTO Norasikin Daineh