Reuters

Madrid: Pertahanan berpengaruh Sepanyol Gerard Pique (gambar) memberitahu akan bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia 2018 kerana ‘letih’ dengan kritikan penyokong terhadapnya.

Pertahanan tengah Barcelona itu menjadi tumpuan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia dengan Albania awal pagi semalam selepas memotong lengan jersinya yang memaparkan warna bendera Sepanyol, kuning dan merah.

Pique, yang mempunyai hubungan dingin dengan peminat Sepanyol kerana sering mengejek Real Madrid dan menyokong referendum kemerdekaan Catalunya, dikritik hebat media sosial dan akhbar sukan kerana tindakannya itu.

Dia mengejutkan wartawan selepas perlawanan itu dengan mengumumkan sedia meninggalkan pasukan kebangsaan.

“Ya, saya sudah letih dengannya dan Piala Dunia di Russia akan menjadi komitmen terakhir saya dengan Sepanyol dan kemudian saya harap dapat pergi dengan aman,” kata Pique.

“Saya memotong jersi saya kerana lengannya terlalu pendek dan menyusahkan saya. Saya mencuba segala-galanya tapi saya tidak boleh menanggungnya lagi.”

Pique membuat 86 penampilan bersama Sepanyol dan menjuarai Piala Dunia Afrika Selatan 2010 dan Euro 2012. Dia juga mewakili Sepanyol untuk kempen mengecewakan pada Piala Dunia 2014 dan Euro 2016. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 8:49 AM