KIAN Meng (atas) dan Pei Jing benam wakil Hong Kong pada aksi final.
KIAN Meng (atas) dan Pei Jing benam wakil Hong Kong pada aksi final.
ZULFADLI
ZULFADLI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara Zulfadli Zulkiffli serta beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengharumkan nama negara apabila masing-masing muncul juara pada Terbuka Russia dan Terbuka Thailand, semalam.

Di Dewan Olimpik Sukan Vladivostok, Zulfadli merangkul gelaran antarabangsa keduanya selepas menewaskan pemain India Siril Verma 16-21, 21-19, 21-10 pada kejohanan berstatus Grand Prix (GP) itu.

Awal bulan lalu, pemain berusia 23 tahun itu memenangi gelaran antarabangsa sulungnya selepas menjuarai GP Terbuka Brazil.

“Pada awalnya saya rasa berdebar kerana mahu memenangi gelaran antarabangsa kedua.

“Mungkin sebab terlalu hendak menang, saya tewas di set pertama kerana banyak melakukan kesilapan mudah.

“Saya lebih fokus serta tenang di set kedua dan meneruskan permainan konsisten di set penentuan,” katanya.

Sementara itu, Kian Meng-Pei Jing muncul juara kejohanan berstatus GP Emas itu selepas menewaskan wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-16, 22-20 dalam tempoh 39 minit di Stadium Nimibutr, Bangkok.

“Sebelum turun beraksi kami memang berasa tertekan kerana terlalu mahukan kemenangan hingga tidak dapat tidur.

“Malah pada perlawanan hari ini (semalam), kami tidak beraksi pada tahap terbaik tapi tetap mencuba hingga akhirnya meraih kemenangan.

“Pada set kedua saya rasa kami bernasib baik kerana lawan dilihat lebih banyak menguasai perlawanan,” kata Pei Jing.

Ia kejayaan kedua mereka di pentas antarabangsa tahun ini selepas muncul juara Terbuka Vietnam, Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 10:34 AM