Pesawat AirAsia X membuat pendaratan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam, di sini, hari ini.
Pesawat AirAsia X membuat pendaratan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam, di sini, hari ini.
Ismeth Syah Hamdan


Port Louis, Mauritius: Syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsia X membuat pendaratan sulungnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam, di sini, hari ini.

Syarikat penerbangan itu turut mengumumkan tambang istimewa sempena penerbangan sulung itu serendah RM199 sehala bagi tempat duduk biasa dan RM1,599 untuk tempat duduk Premium Flatbeds.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad, Benyamin Ismail berkata, pihaknya amat teruja dengan penerbangan pertama itu, sekali gus menambah laluan tambahan pada peta AirAsia X yang kini menawarkan penerbangan ke 21 destinasi di Asia.

"Kehadiran kami dalam pasaran ini sekali gus memberikan kami keyakinan untuk mengembangkan penerbangan terus antara Mauritius dan Kuala Lumpur yang dikendalikan secara eksklusif oleh AirAsia X.

"Dengan kerjasama Kumpulan AirAsia, penumpang kini boleh terbang ke Mauritius dari mana-mana destinasi yang ada dalam rangkaian penerbangan kami di seluruh Asia, Australia, Timur Tengah melalui Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai hab kos rendah di Asia," katanya ketika majlis pelancaran penerbangan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Mauritius, di sini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia, Issop Patel, Pengerusi AirAsia X Berhad, Tan Sri Rafidah Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun, Ahli Lembaga Pengarah AirAsia X Berhad, Dato’ Fam Lee Ee dan Presiden Kawasan Asia Utara bagi AirAsia, Kathleen Tan.

Terletak di pantai tenggara benua Afrika, Mauritius yang dahulunya lebih dikenali sebagai pulau gunung berapi kini terkenal dengan kecantikan kawasan pantai dengan pasirnya yang putih, iklim sub-tropika dan keindahan persisiran pantai Lautan Hindi.

Penerbangan itu juga memberi kelebihan kepada warga Mauritius yang ingin membuat penerbangan 'Fly-Thru' yang menghubungkan bandar-bandar utama di Asia dan Australasia melalui Kuala Lumpur sebagai hab transit dengan bagasi yang didaftar masuk terus ke destinasi tanpa memerlukan pemeriksaan imigresen ketika transit.

Dengan perkhidmatan yang disediakan itu, penumpang dari Mauritius boleh melakukan penerbangan antara bandar ke Singapura, Perth, Delhi, Shanghai dan banyak lagi dengan hanya melalui Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 10:24 PM