SHAHRIZAN (tengah) bersama Faris Shah bergambar bersama murid terpilih.
SHAHRIZAN (tengah) bersama Faris Shah bergambar bersama murid terpilih.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Sekolah Kebangsaan (SK) Kota mengambil inisiatif dengan menubuhkan akademi bola sepak bagi mengasah bakat murid mereka dalam sukan berkenaan.

Akademi yang dilancarkan baru-baru ini, dirasmikan dua pemain skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) Faris Shah Rosli dan Shahrizan Ismail.

Kedua-dua pemain itu menyifatkan akademi berkenaan sebagai platform terbaik untuk mengasah bakat murid dalam sukan bola sepak.

Ia juga dianggap sebagai penggerak kepada pembangunan bola sepak peringkat negeri kerana mampu melahirkan pelapis sejak berusia muda.

Shahrizan berkata, bakat yang ada pada kanak-kanak boleh dikembangkan hingga ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan latihan, teknik serta kemahiran bermain bola sepak yang betul daripada jurulatih, saya yakin murid di sekolah ini mampu mencipta nama sedikit masa lagi,” katanya.

Sementara itu, Faris Shah tampil berkongsi pengalamannya dengan pemain cilik di sekolah itu dan mengingatkan mereka supaya mempunyai disiplin tinggi untuk bergelar pemain.

“Saya sendiri mula bermain bola sepak ketika berusia 10 tahun dan tanpa menoleh belakang, saya teruskan cita-cita sebelum dipanggil menyertai pasukan Harimau Muda dan kini mewakili Kelantan.

“Pada mulanya saya tidak terfikir dapat menjadi pemain bola sepak, namun berkat dorongan ibu bapa dan minat mendalam, akhirnya cita-cita saya tercapai.

“Jadi kepada adik-adik yang bermain untuk akademi ini, rebut peluang dan bermain bersungguh-sungguh agar cita-cita untuk bergelar pemain bola sepak profesional tercapai,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Kota, Mohd Zaidi Yusof (gambar) berkata, akademi itu membuka peluang kepada murid berusia sembilan hingga 12 tahun untuk mendalami ilmu bola sepak menerusi tunjuk ajar jurulatih berpengalaman.

Katanya, mereka akan diasuh sebaik mungkin untuk menjadi perintis kepada pemain profesional.

“Impian saya ialah mahu melihat pelajar sekolah ini menjuarai pertandingan disertai tahun depan dan sebagai permulaan, kami sasarkan gelaran juara peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 9:00 AM