AZLAN Man bersama atlet Paralimpik yang memenangi emas di Rio, Abdul Latif Romly (duduk empat kiri) dan penerima dana. FOTO Eizairi Shamsudin
AZLAN Man bersama atlet Paralimpik yang memenangi emas di Rio, Abdul Latif Romly (duduk empat kiri) dan penerima dana. FOTO Eizairi Shamsudin
Hafizudin Mohd Safar


Kangar: Sebuah pusat kecemerlangan sukan OKU (PKSOKU) perlu diwujudkan di Perlis sebagai penghargaan terhadap pencapaian ramai atlet dari negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mencadangkan perkara itu berdasarkan kecemerlangan atlet negeri ini, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, 26, dan Abdul Latif Romly, 16, meraih pingat emas di Kejohanan Paralimpik Rio 2016 serta 11 rakan mereka yang turut disenarai pendek menjalani latihan pemilihan untuk mewakili Malaysia dalam Sukan Para ASEAN 2017.

"Dua atlet dari Perlis yang mewakili Malaysia cemerlang di Paralimpik Rio. Sementara 11 daripada 22 orang atlet Perlis yang memenangi pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016 juga disenarai menjalani latihan pemilihan untuk Sukan Para Asean 2017.

"Justeru, penghargaan boleh diterjemahkan dalam bentuk membangunkan PKSOKU kerana sebahagian besar atlet berkenaan datang dari negeri ini.

"Kita berharap KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan kerajaan Persekutuan menimbang cadangan ini dengan serius.Kita akan mengutarakan permohonan ini dan berharap dapat dilaksanakan secepat yang mungkin," katanya ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan peruntukan berjumlah RM242,500 kepada wakil daripada 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti (SRCC) dari Parlimen Arau, Kangar dan Padang Besar untuk menjayakan Hari Sukan Negara dengan sasaran 48,000 penyertaan pada 8 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 7:11 PM