Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Pas Kedah menyifatkan pemergian Mursyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din sebagai kehilangan seorang lagi murabbi ummah yang banyak berjasa kepada masyarakat dan rakyat negara ini dalam menyampaikan dakwah.

Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrrurazi berkata, Allahyarham adalah murabbi ummah yang sangat besar jasanya kepada masyarakat dan rakyat negara ini dalam menyampaikan dakwah Islamiah tanpa kenal erti penat dan lelah.

Menurutnya, segenap usia masyarakat mengenali Allahyarham dengan keperibadian dan akhlak Islam yang amat sederhana sekalipun beliau sarat di dadanya dengan ilmu agama yang begitu luas.
"Marilah kita mengambil contoh sikap ilmuan Islam ini yang sentiasa istiqamah dan terkehadapan dalam menyampai serta mengajak masyarakat mentaati perintah Allah di sepanjang hayatnya.

"Marilah sama-sama kita praktikkan dengan segala apa yang sudah Allahyarham tinggalkan kepada kita iaitu menghambakan diri pada Allah dan berbuat sesuatu demi mencari reda Allah sebagai bekalan untuk kita bawa bertemu Robbul Jalil di negeri Akhirat kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 2:44 PM