DAVID menunjukkan sebahagian daripada 43 menu baru di restoran The Manhattan Fish Market.
DAVID menunjukkan sebahagian daripada 43 menu baru di restoran The Manhattan Fish Market.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Inovatif, unik dan selektif. Juga penuh rasa dan variasi. Nyata apa yang dipersembahkan dalam menu terkini The Manhattan Fish Market (TMFM) majoritinya menepati cita rasa tempatan.

Dengan 43 menu baru, TMFM menonjolkan kreativiti tenaga kerjanya dalam menghasilkan hidangan kombinasi timur dan barat yang menggunakan bahan segar seperti ikan kod, ocean perch, hake dan udang galah.

Menu generasi kelima ini dimulakan dengan penyenaraian 100 hidangan makanan laut sebelum 43 dikenal pasti menepati piawaian rasa, penghasilan dan faktor sihat seperti ditetapkan TMFM.

Jelas Pengurus Operasinya, David Lee, 43 menu baru ini banyak menekankan aspek makanan sihat, di mana kebanyakan dimasak secara kukus dan panggang sambil disertakan pelbagai pilihan sayuran.

"Atas kesedaran terhadap gaya hidup sihat dan permintaan daripada pelanggan, TMFM cuba mempelbagaikan menu terkini dengan hidangan yang lebih sihat.

"Selain memperbanyakkan sayur-sayuran, kami juga memilih bahan segar dan kurang diproses, selain menggantikan gula biasa kepada gula perang.

"Ada yang beranggap makanan sihat kurang rasa dan perisanya namun perubahan ini membuatkan satu-satu hidangan TMFM itu lebih enak serta menarik," katanya.

Bagi memulakan hidangan, David mengesyorkan Oyster Roulette yang boleh dinikmati bersama teman.

Hidangan pembuka selera ini menampilkan empat gelas tiram dengan perisa masam dan pedas yang sekali pandang seakan sama dari segi rasanya namun salah satu daripada empat gelas itu disediakan lebih pedas daripada yang lain.

Sama seperti permainan roulette, ia pastinya mengundang keceriaan mencuba nasib memilih gelas terbaik sesama rakan.

Peminat makanan bergoreng bagaimanapun tidak dilupakan dan Onion Glory sememangnya perlu dicuba. Hirisan bawang bersalut tepung digoreng ranggup lalu dipadankan bersama sos istimewa yang menggabungkan rasa manis, masam dan pedas.

Buat pertama kalinya TMFM turut memperkenalkan menu Curry Hill Seafood yang penuh aroma dan dihidangkan dalam dua pilihan sama ada bersama udang atau udang galah Slipper.

Hidangan menarik ini dimasak dengan pelbagai rempah yang diilhamkan dari Murray Hill, iaitu kawasan sibuk di Manhattan, New York, yang lebih dikenali sebagai Curry Hill.

Udang galah Slipper juga pertama kali digunakan dalam sajian di TMFM ini, di mana ia dimasak bersama sos kari Murray dan dihidangkan dengan potongan sayur-sayuran segar serta kepingan baguette rangup.

Dalam masa sama, hidangan platter nyata popular dan menjadi pilihan terbaik untuk mengeratkan silaturahim sesama rakan mahupun ahli keluarga.

Selain empat Flaming Platter yang menjadi tanda pengenalan TMFM, beberapa menu hadir dengan lebih banyak pilihan makanan laut.

Salah satunya ialah Volcano Island (dengan pilihan platter udang galah atau udang biasa) yang disertai kehangatan rempah ratus kari Murray.

Selain udang, platter itu disertakan kekapis goreng, nuget ikan dori pedas, kupang Volcano dan roti baguette di atas nasi herba bawang putih yang harum baunya.

Filet rangup Fishy Chicky Bang Bang adalah antara hidangan seterusnya yang paling dinanti-nantikan. Bagi penulis, ia bagaikan hidangan Surf 'n Turf yang diubah suai ke sajian filet ikan dori bersama ayam lalu dilengkapi keju cheddar di bahagian tengahnya.

Hadir bersama telur goreng, spageti goreng, kentang dan salad, Fishy Chicky Bang Bang nyata memuaskan serta mengenyangkan.

Lengkapkan pengalaman gastronomi di TMFM ini dengan hidangan pencuci mulutnya yang unik dan berani.

Hidangan Icy Hot Fish Bananas menyerlahkan kombinasi rasa manis dan savuri, hasil daripada salutan pes ikan pada pisang segar yang digoreng rangup dan disempurnakan dengan aiskrim vanila serta strawberi segar.

Jika inginkan sesuatu yang lebih normal pada deria rasa, pisang goreng bersama krim kelapa dan aiskrim perisa coklat pasti menambat selera.

Untuk keterangan lanjut mengenai menu baru The Manhattan Fish Market ini, boleh layari www.manhattanfishmarket.com, www.facebook.com/MFM.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:03 AM