Anggota bomba meneruskan gerakan mencari dua remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba meneruskan gerakan mencari dua remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak. - Foto Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


Kampung Gajah: Dua remaja bersaudara dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Perak, berhampiran Kompleks Pasir Salak, Kampung Gajah, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.50 petang itu, remaja lelaki berusia 15 dan 18 tahun yang juga sepupu itu dikatakan mandi di sungai berkenaan bersama beberapa ahli keluarga sebelum mereka tenggelam dan dikhuatiri lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar Zaiful Efendi Ahmad yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian jam 6.56 petang.

"Berdasarkan maklumat dua remaja lelaki dikenali sebagai Daniel, 15, dan Mohamad Amirul Osman, 18, dipercayai lemas di sungai berkenaan.

“SAR dijalankan dengan bantuan Balai Bomba Parit, pasukan polis dan beberapa agensi lain, namun sehingga jam 11 malam ini mangsa masih gagal ditemui," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, keadaan gelap malam menyukarkan pencarian dan beberapa pasukan keselamatan terpaksa menghentikan operasi, namun bomba meneruskannya dengan bantuan penduduk kampung.

"Pasukan kami membuat pencarian sepanjang Sungai Perak berhampiran Kompleks Pasir Salak ini dan ramai penduduk kampung serta ahli keluarga mangsa turut membantu operasi pencarian.

"Bomba tidak akan menangguhkan operasi walaupun keadaan gelap dan kita akan meneruskan pencarian hingga berjaya mengesan kedua-dua remaja berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 12:02 AM